15 peniaga dikesan lakukan kesalahan

15 peniaga dikesan lakukan kesalahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Pengguna bersama beberapa agensi-agensi lain yang bertanggungjawab ke atas perlindungan pengguna telah menjalankan pemeriksaan mengejut iaitu ‘Operasi Sepadu Pelindungan Pengguna’ di beberapa buah premis perniagaan di Giant Tasik Rimba Mall di Kampung Rimba, kelmarin.

Daripada pemeriksaan tersebut, seramai 15 peniaga telah didapati melakukan kesalahan di bawah Perintah Akta Kawalan Harga (Pembubuhan Harga) dan Peraturan-Peraturan Akta Kawalan Harga (Harga Jualan Murah), Akta Kawalan Harga (Penggal 142).

Peniaga-peniaga berkenaan telah diberi amaran lisan dan nasihat untuk mematuhi Perintah Akta Kawalan Harga (Pembubuhan Harga) supaya meletakkan tanda harga yang jelas dan ketara agar pengguna tidak keliru.

Operasi yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Arifin itu disertai oleh pelbagai agensi seperti Peraturan Perkhidmatan Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Bahagian Kawalan Kualiti Keselamatan Makanan di Kementerian Kesihatan dan Unit Sukatan dan Timbangan di bawah Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri.

Operasi sepadu tersebut melibatkan pemeriksaan harga barangan kawalan, pembubuhan harga dan acara harga jualan murah yang dijalankan oleh perniagaan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 yang dikuatkuasakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna.

Para pegawai penguatkuasa kawalan harga ketika membuat pemeriksaan.
Para pegawai penguatkuasa kawalan harga ketika membuat pemeriksaan.

Di samping itu, isu-isu pengguna mengenai keselamatan produk, aspek kesihatan dan piawaian sukatan dan timbangan juga diberi perhatian dalam operasi sepadu tersebut.

Bahagian Hal Ehwal Pengguna, JPKE dalam pada itu juga sentiasa memantau dari masa ke semasa terhadap barangan tertentu yang dikawal selia di bawah Akta Kawalan Harga seperti barangan keperluan rumah, tenaga, bahan-bahan binaan dan kenderaan bermotor penumpang.

Semasa Operasi Sepadu itu dijalankan, Unit Sukatan dan Timbangan juga membuat pemeriksaan ke alat-alat timbangan dan sukatan yang digunakan untuk tujuan perdagangan adalah sah dan tepat. Selain itu, ia adalah untuk memastikan bahawa produk ‘sedia dibungkus’ yang dijual ditunjukkan tanda ‘berat bersih’ timbangan atau sukatan dengan betul dan jelas seperti yang dinyatakan di bawah Akta Timbangan & Sukatan 1983, Bab 151 dan Peraturan-Peraturannya.

Sementara itu, menurut Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, di bawah Akta Kesihatan Awam (Makanan), perniagaan perlu memastikan makanan yang disediakan, dijual atau diimport adalah tidak memudaratkan kesihatan, tidak sesuai untuk kegunaan manusia dan adalah tidak dicemari.

Di bawah akta yang sama, ia adalah satu kesalahan untuk meletakkan label yang mengelirukan, memperdayakan dan palsu pada bungkusan dan juga semasa penyediaan, jualan atau pengiklanan apa jua makanan.

Bagi sebarang aduan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi Bahagian Hal Ehwal Pengguna, JPKE di talian 2230223 semasa waktu pejabat atau emel ke: aduanpengguna@jpke.gov.bn atau melalui Facebook AduanPenggunaJPKE atau terus ke Bilik 3.04, Tingkat 3, West Wing, Bangunan JPKE, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan, BA1311

ARTIKEL YANG SAMA