15 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Pitas

15 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Pitas

KOTA KINABALU, 24 Jan – Sebanyak 15 buah rumah setinggan dan sebuah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Telaga, Pitas dekat sini awal pagi kelmarin (Sabtu).

Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K. Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.53 pagi dan sampai ke tempat kejadian pukul 4.04 pagi.

“Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dari balai Kota Marudu dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak bomba mendapat sumber air dari perigi berhampiran dan operasi tamat sepenuhnya pukul 6.54 pagi.

Mohd Affendy berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Bernama