15 terima Program Biasiswa Grafik Komputer

15 terima Program Biasiswa Grafik Komputer

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Seramai 15 orang pelajar telah dipilih sebagai penerima Program Biasiswa Grafik Komputer bagi mengikuti program latihan Grafik Komputer (CG) yang dikendalikan oleh Sesame World Technology di Knowledge Hub (K-Hub), Anggerek Desa selama sembilan bulan bermula Julai depan.

Majlis penganugerahan biasiswa berkenaan berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), di sini, hari ini dan disempurnakan oleh Ketua Eksekutif AITI, Pengiran Haji Mohammad Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Program biasiswa tersebut adalah kerjasama di antara AITI dengan Sesame World Technology (B) Sdn Bhd, yang mana pemilihan para penerima biasiswa adalah berdasarkan kejayaan akademik, kecemerlangan seni, kepimpinan, semangat dan komitmen kepada industri multimedia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AITI, ia merupakan program intensif sepenuh masa pertama yang dikendalikan di dalam negara untuk membangunkan bakat-bakat tempatan dalam pasaran seni dan kreatif.

Sesame World Technology juga akan mengambil beberapa orang calon yang menunjukkan prestasi terbaik pada akhir program, untuk projek-projeknya di Brunei, yang mana ini juga membolehkan mereka untuk mendapat pendedahan kepada beberapa projek luar negara terutama di China dan Asia Tenggara.

Para penerima biasiswa bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Para penerima biasiswa bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Salah seorang penerima biasiswa, Dayang Rasyiqah binti Takiyaudin, yang merupakan pelajar tahun dua di Kolej IGS, semasa ditemui pada majlis itu, melahirkan perasaan gembira menerima biasiswa berkenaan, dan menyatakan harapan dengan penyertaan dalam program ini, ia akan dapat memberi peluang untuk terus maju ke hadapan dan berjaya dalam bidang yang diceburi ini.

Program tersebut turut menawarkan peluang kepada mereka yang mempunyai minat dalam industri seni dan kreatif untuk membangunkan dan meningkatkan bakat mereka ke dalam kerjaya yang berpotensi.

Program Biasiswa CG itu turut disokong oleh Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), yang mana program ini dibiayai di bawah Rancangan Pembangunan Negara ke-10 bagi program Pembangunan Kapasiti Manusia.

ARTIKEL YANG SAMA