15 terkorban letupan di masjid

15 terkorban letupan di masjid

RIYADH, 7 Ogos (AFP) – Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam satu letupan masjid yang dipercayai dilakukan pengebom berani mati di selatan bandar Abha berhampiran sempadan Yaman, semalam, kata kementerian dalam negeri Arab Saudi.

Jurucakap kementerian berkata, sembilan turut tercedera, tiga daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal. Tiga yang terbunuh dikenal pasti sebagai pekerja di masjid itu yang kerap digunakan anggota Pasukan Senjata dan Taktik Khas (SWAT).

“Serangan pengganas itu dilakukan ketika jemaah bersolat menyebabkan 10 polis dan tiga pekerja masjid terbunuh, manakala sembilan lagi cedera,” katanya.

Menurutnya, serangan itu dipercayai dilakukan pengebom berani mati, ekoran penemuan beberapa anggota badan di tempat kejadian menunjukkan penggunaan jaket letupan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab.

Kesan letupan di ruang dalam masjid yang meninggalkan beberapa kesan. – Reuters
Kesan letupan di ruang dalam masjid yang meninggalkan beberapa kesan. – Reuters

Pengeboman semalam paling serius sejak beberapa bulan kebelakangan ini terhadap pasukan keselamatan Arab Saudi, yang menjadi sasaran serangan dipercayai dilakukan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pada pertengahan bulan lalu, bom kereta diletupkan di pusat pemeriksaan berhampiran sebuah penjara di Riyadh mengakibatkan kematian pemandunya berusia 19 tahun dan dua anggota polis.

Selain itu, di Taif, seorang polis ditembak mati pada 3 Julai lalu dalam serbuan yang turut melihat tiga orang ditahan bersama bendera IS.

Beberapa Jumaat pada Mei juga melihat serangan pengebom berani mati di masjid Syiah di wilayah timur negara itu mengakibatkan 25 maut.

Kumpulan Najd Province yang bersekutu dengan IS mengaku bertanggungjawab bagi serangan berkenaan, selain satu lagi di sebuah masjid Syiah di Kuwait yang mengakibatkan 26 maut, Jun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA