15 veteran berlepas ke Maldives

15 veteran berlepas ke Maldives

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Seramai 15 orang pegawai dan pemain bola sepak veteran Negara Brunei Darussalam berlepas ke Maldives hari ini bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Bola Sepak Global Veteran 2015.

Pasukan veteran negara yang diketuai oleh Presiden Bola Sepak Veteran Negara Brunei Darussalam, Awang Roslin bin Suhailee itu terdiri daripada enam pemain Kelab RB Veterans, tiga pemain dari Kelab Sateria Veterans, seorang pemain Kelab Veteran Pondok 12 dan dua pegawai/pemain dari Persatuan Bola Sepak Veteran Negara Brunei Darussalam.

Semasa ditemu bual di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas hari ini, Awang Jabar Isnin dari Persatuan Bola Sepak Veteran Negara Brunei Darussalam berkata Kejohanan yang disertai oleh Kelab Bola Sepak Veterans dari India, Indonesia, Maldives, Malaysia, Singapura dan Negara Brunei Darussalam itu akan berlangsung dari 3 hingga 6 Jun 2015.

Pasukan Brunei akan turun padang buat kali pertama menentang India pada 4 Jun diikuti dengan perlawanan kedua menentang Malaysia pada hari kedua.

Awang Roslin (kelima dari kanan) yang mengetuai pasukan pemain bola sepak veteran Brunei sebelum berlepas ke Maldives.
Awang Roslin (kelima dari kanan) yang mengetuai pasukan pemain bola sepak veteran Brunei sebelum berlepas ke Maldives.

Ketika ditanya mengenai pemilihan pemain yang mewakili negara ini, Awang Jabar menjelaskan tiada pemilihan khusus dibuat untuk penentuan pemain ke kejohanan itu, sebaliknya penentuan dibuat melalui tawaran kepada semua pemain veteran yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai kejohanan tahunan itu.

Beliau juga menjelaskan, keputusan untuk memilih Maldives sebagai hos kejohanan bagi tahun ini telah disepakati oleh negara anggota semasa India menjadi hos kejohanan itu yang diadakan di Chennai pada 2014.

Katanya lagi, penganjuran seterusnya Kejohanan Bola Sepak Veteran Global bagi 2016 akan diputuskan pada mesyuarat yang akan diadakan di Maldives sebelum berakhirnya kejohanan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA