150 ahli PPNBD sertai Jambori Pengakap sedunia

150 ahli PPNBD sertai Jambori Pengakap sedunia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Sekali lagi, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Kelab Radio Amatur Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, tidak ketinggalan untuk bersama berjuta-juta ahli Pengakap di seluruh dunia menyertai Jambori Pengakap yang terbesar peringkat dunia iaitu Jambori Di Udara ke-59 (JOTA) dan Jambori Di Internet ke-20 (JOTI) selama dua hari bermula 15 hingga 16 Oktober.

Bagi PPNBD, lebih dari 150 orang ahli Pengakap yang terdiri daripada ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana, Pengakap Udara dan Pengakap Laut telah mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan selama dua hari dalam jambori berkenaan.

Bagi 2016, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam telah membuka dua buah stesen radio amatur iaitu di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam di Jalan Gadong dengan menggunakan tanda panggilan, V84CBS, yang disertai oleh ahli Pengakap dari Daerah Brunei dan Muara serta dari Daerah Temburong.

Sebuah lagi stesen bertempat di Daerah Tutong, di Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong, yang menggunakan tanda panggilan,V84CDT, disertai oleh ahli-ahli Pengakap dari Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Hadir bagi majlis perasmian kegiatan itu ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Awang Hapidz, pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap, pegawai-pegawai Pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan Pengakap serta ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Udara, Pengakap Kelana.

Haji Awang Badar ketika berinteraksi melalui sidang video dengan Pemimpin Pengakap di Negeri Selangor.
Haji Awang Badar ketika berinteraksi melalui sidang video dengan Pemimpin Pengakap di Negeri Selangor.
Ahli Pengakap Tunas (Cub Scout) berhubung melalui sidang video dengan rakan-rakan Pengakap di Yokohama, Jepun.
Ahli Pengakap Tunas (Cub Scout) berhubung melalui sidang video dengan rakan-rakan Pengakap di Yokohama, Jepun.

Di majlis berkenaan, Haji Awang Badar telah berkesempatan untuk berhubung melalui sidang video melalui aplikasi Skype dengan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sarawak, Sudaryo bin Haji Osman yang berada di Kuching, Sarawak, serta dengan ahli-ahli Pengakap yang berada di Kota Kinabalu, Sabah serta di Perkhemahan Jambori JOTA dan JOTI di Semenyih, Negeri Selangor.

Kegiatan JOTA & JOTI itu dijalankan pada setiap minggu ketiga pada bulan Oktober setiap tahun. Keunikan jambori ini adalah setiap ahli Pengakap yang menyertainya telah dapat berhubung di antara satu sama lain dengan ahli-ahli Pengakap di seluruh dunia dengan menggunakan peralatan radio amatur yang berfrekuensi tinggi, HF dan VHF serta melalui talian sembang di Internet atas talian yang dikhaskan untuk kegiatan berkenaan juga berjaya membuat sidang video melalui aplikasi Skype.

Semasa jambori itu, ahli-ahli Pengakap di Brunei telah berjaya membuat perhubungan melalui radio amatur kepada lebih 40 buah negara manakala melalui hubungan talian Internet pula, hampir 70 buah negara telah dapat dihubungi.

Melalui aktiviti seumpama itu, ahli-ahli Pengakap lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan Pengakap yang tidak kenali berada beribu kilometer dari Negara Brunei Darussalam serta dapat mengetahui betapa penting peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus teknologi yang serba maju dan canggih.

ARTIKEL YANG SAMA