150 balai bomba bakal dibina

150 balai bomba bakal dibina

KOTA KINABALU, 28 Ogos – Sebanyak 150 balai bomba akan dibina di seluruh negara bagi meningkatkan ‘masa respons’ perkhidmatan kecemasan kebombaan menjelang 2020.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Zulkarnain Mohd Kassim berkata ia bagi memendekkan tempoh pasukan bomba dan penyelamat sampai ke lokasi kejadian di bawah 10 minit.

“Matlamat kita memang hendak memendekkan ‘masa respons’ ini melalui pembinaan balai-balai ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR), di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah di sini hari ini.

Zulkarnain berkata JBPM juga akan melantik sebanyak 500 anggota PBB menjelang tahun depan.

Menurutnya, PBB yang dilantik perlu menjalani kursus asas menyelamat selama 10 hari dan akan turut diberi elaun sebanyak RM6 sejam semasa bertugas.

Beliau berkata JBPM menyasarkan seramai 100 anggota MoSAR yang akan dilantik untuk membantu memastikan keselamatan pelancong khususnya di Gunung Kinabalu.

Zulkarnain berkata JBPM kini mempunyai lebih 13,000 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sabah Nordin Pauzi berkata sebanyak 31 buah balai bomba termasuk di pedalaman turut dirancang dibina di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan adanya penambahan balai ini, maka pengambilan dan penambahan anggota akan terbuka,” katanya.

Pada majlis itu seramai 40 PBB MoSAR terdiri daripada malim-malim gunung yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah menerima pentauliahan masing-masing. – Bernama