150 hadiri persembahan Jong Sarat

150 hadiri persembahan Jong Sarat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Lebih 150 orang telah menyaksikan persembahan teater bertajuk ‘Seeds7 Jong Sarat’ anjuran Seeds Brunei yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, malam ini.

Hadir bagi menyaksikan persembahan teater itu ialah Setiausaha Tetap ‘Pendidikan Teras’ di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Skrip persembahan teater ini telah ditulis oleh Awang Mohammad Syafiq bin Haji Abu Bakar bersama Dr. Hajah Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud, Stephen Gregory dan Faiq Airudin.

Ia mengisahkan tentang kehidupan empat orang rakan di tahun 1980-an di Brunei dalam mengharungi cabaran yang dilalui semasa memasuki peringkat dewasa.

Dr. Haji Junaidi semasa hadir menyaksikan teater tersebut.
Dr. Haji Junaidi semasa hadir menyaksikan teater tersebut.
Antara persembahan yang dipamerkan.
Antara persembahan yang dipamerkan.

Empat sahabat berkenaan terdiri daripada Razak, iaitu seorang individu yang ingin menyara keluarganya, Nur yang sering kali keliru dalam menentukan keinginannya sendiri atau mengikut kehendak ayahnya, Asmali yang selalu melihat dirinya sebagai orang yang kedua terbaik dan Salmah yang memupuk persahabatan mereka di samping memelihara perniagaan jong sarat ibu bapanya.

Persembahan teater ini bertujuan untuk menggalakkan minat bidang kesenian dalam kalangan pelajar di sekolah menengah dan pengajian tinggi di samping menunjukkan bakat-bakat yang terpendam.

Lebih 100 orang pelajar telah berganding bahu dalam menjayakan persembahan teater ini dengan sokongan penerbit muzik tempatan Adi Rani daripada ProjecTunes Records dan artis rakaman antarabangsa Hill Zaini.