150 malim gunung diberi bantuan

150 malim gunung diberi bantuan

KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) – Biro Kebajikan UMNO bersetuju memberikan elaun bulanan selama tiga bulan kepada malim Gunung Kinabalu yang terjejas hasil pendapatan ekoran kejadian gempa bumi pada 5 Jun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata biro berkenaan bersetuju memberi elaun kepada lebih 150 malim gunung yang terbabit selama tempoh Gunung Kinabalu ditutup kepada sebarang aktiviti pendakian.

“Kadar elaun sebanyak RM800 sebulan akan diberikan kepada malim gunung yang aktif manakala RM400 kepada malim yang tidak aktif,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wilfred Bumburing (PKR-Tamparuli) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Bumburing ingin tahu mengenai rancangan kerajaan negeri mahupun pusat dalam memberi bantuan kepada malim gunung yang terjejas pendapatan mereka selama tempoh Gunung Kinabalu ditutup bagi kerja-kerja pembaikan.

Aktiviti pendakian di gunung berkenaan dijangka beroperasi semula pada minggu pertama September.