150 tamat bengkel kejururawatan

150 tamat bengkel kejururawatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Seramai 150 peserta Bengkel Peningkatan Pengurusan dan Pentadbiran Kejururawatan menerima sijil masing-masing di majlis penutup dan penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said.

Yang Di Pertua Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU), Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah dalam kata alu-aluannya antara lain menyeru para jururawat untuk mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi, mempraktikkan etika kerja mengikut garis pandu yang tertera seperti yang termaktub dalam peraturan perilaku kejururawatan (Code of Conduct).

Para peserta bengkel terdiri daripada pegawai jururawat kanan, pegawai jururawat tingkat khas, pegawai jururawat, jururawat kanan, jururawat dan bidan, jururawat pergigian serta paramedik dari keempat-empat daerah.

Bengkel selama dua hari, bermula kelmarin itu dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama PENJURU bersempena dengan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2015.

Dr Hajah Rahmah menyampaikan sijil kepada salah seorang wakil peserta Bengkel Peningkatan Pengurusan dan Pentadbiran Kejururawatan, di majlis penutup, kelmarin.
Dr Hajah Rahmah menyampaikan sijil kepada salah seorang wakil peserta Bengkel Peningkatan Pengurusan dan Pentadbiran Kejururawatan, di majlis penutup, kelmarin.

Ia dikendalikan oleh Presiden Persekutuan Jururawat dan Bidan Komanwel, Dame Hajah Ramziah binti Haji Ahmad dengan dibantu oleh 30 ahli PENJURU selaku penyelaras dan pemudah cara memberikan penerangan mengenai kepimpinan dalam bidang kejururawatan dan perbidanan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian resolusi bengkel oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Kejururawatan dan Penasihat PENJURU, Hajah Fatimah binti Abdullah.

Menerusi bengkel itu, diharap para peserta dapat menerokai aspek-aspek kepimpinan dengan memahami prinsip kepimpinan secara bersistematik dan menerapkannya dalam bidang kejururawatan dan perbidanan masing-masing ke arah satu modal perawatan dan pemedulian pesakit atau pelanggan yang lebih berkesan.

ARTIKEL YANG SAMA