1,500 rumah dipilih ujian penyiaran DTT

1,500 rumah dipilih ujian penyiaran DTT

KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama) – Hampir 1,500 isi rumah di Sabah akan dipilih menjadi peserta ujian penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) bermula 27 Julai hingga Disember ini, kata Ketua Pegawai Komersial MYTV, Haniza Ros Nasaruddin.

Beliau berkata kesemua peserta yang terpilih itu berada dalam lingkungan jarak kira-kira 25 km hingga 100 km dari tapak pemancar televisyen berkenaan di Bukit Karatong.

Peserta terpilih akan menerima pemasangan dekoder MYTV sementara secara percuma dan menikmati sebanyak tujuh siaran iaitu TV1, TV2, TV3, NTV7, TV8, TV9 and TV AlHijrah dalam bentuk digital untuk fasa pertama.

Beliau berkata dekoder sementara itu akan digantikan dengan dekoder yang baharu apabila fasa siaran ujian penyiaran DTT berakhir pada penghujung tahun ini.

“Semasa fasa ujian ini, MYTV akan membuat pertukaran daripada siaran analog kepada digital yang telah dimulakan sejak April lalu di beberapa kawasan terpilih di Semenanjung seperti di Pahang, Terengganu, serta Kelantan dan Sabah adalah yang pertama di Malaysia Timur (melaksanakan ujian penyiaran),” katanya kepada Bernama.

Katanya, fasa siaran ujian itu adalah untuk melihat keberkesanan liputan digital dari segi kekuatan penerimaan signalnya dan kualiti gambar yang dapat diterima oleh pengguna isi rumah sebelum diperkenalkan secara rasmi pada Januari tahun depan.

Beliau berkata di Sabah, sebanyak tiga kawasan dipilih sebagai stesen pemancar bagi siaran MYTV iaitu Bukit Karatong di Kota Kinabalu, Gunung Andrassy di Tawau dan Bukit Trig di Sandakan.

Haniza Ros berkata, keistimewaan MYTV ialah siarannya tidak terganggu akibat perubahan cuaca kerana ia disokong jaringan kabel fiber optik.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kawasan yang terhalang oleh keadaan berbukit, pemancar-pemancar berkuasa rendah yang dikenali sebagai ‘gap fillers’ akan dipasang untuk menerima signal dari pemancar utama untuk disalurkan kepada setiap pengguna isi rumah.