1,500 sertai Duathlon Antarabangsa Port Dickson

1,500 sertai Duathlon Antarabangsa Port Dickson

PORT DICKSON, 30 Julai (Bernama) – Seramai 1,500 peserta akan bersaing pada perlumbaan Duathlon Antarabangsa Port Dickson di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Ahad ini.

Pengurus Acara Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Shamaruddin Saidin berkata selain peserta Malaysia, perlumbaan kali kedua ini akan turut disertai peserta dari 25 negara termasuk Australia, Indonesia, China, Kenya, United Kingdom, Singapura dan Thailand.

“Memandangkan jumlah penyertaan bertambah tahun ini, kita menjangkakan saingan kali ini akan lebih sengit untuk merebut hadiah utama wang tunai berjumlah RM25,000,” katanya di sini, Rabu.

Katanya dua kategori yang dipertandingkan kali ini adalah ‘full duathlon’ dan ‘sprint duathlon’.

Kategori ‘full duathlon’ membabitkan larian 10 kilometer (km), diikuti berbasikal sejauh 60km sebelum menamatkannya dengan larian 8km, manakala untuk kategori ‘sprint duathlon’ ia merangkumi larian 5km dan berbasikal sejauh 30km dan mengakhirinya dengan larian 5km.

Shamaruddin berkata penganjuran perlumbaan kali ini di Pusasda adalah bagi menonjolkan ikon pelancongan di sini.

Katanya selaras dengan pengiktirafan Port Dickson sebagai Pantai Peranginan Negara dan Bandar Tentera Darat, penganjuran perlumbaan sukan pelancongan ini bakal melonjakkan lagi bandar ini sebagai destinasi pelancongan yang bertaraf antarabangsa.

“Objektif kita mengadakan perlumbaan di sini bagi mendekatkan lagi orang awam untuk mengenali tentera dan produk pelancongan ketenteraan yang terdapat di sini.

“Semua peserta bagi kedua-dua kategori perlumbaan akan merentasi laluan 500 meter di dalam kawasan Muzium Tentera Darat yang akan memperlihatkan sebahagian pemandangan kem Pusasda,” katanya.