15,000 bendera Malaysia diserahkan kepada Umno Sabah

KOTA KINABALU, 12 Sept – Biro Tatanegara (BTN) Sabah menyerahkan kira-kira 15,000 Jalur Gemilang kepada 25 bahagian Umno Sabah untuk diagihkan kepada pemimpin  dan rakyat akar umbi di seluruh negeri sempena sambutan Hari Malaysia.

Pengarah BTN Sabah Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengagihan Jalur Gemilang berkenaan adalah sebahagian daripada usaha dan pendekatan agensi berkenaan untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan Bulan Kebangsaan serta Hari Malaysia pada 16 September ini di mana Sabah dipilih sebagai tuan rumah.

“Kita mendengar aspirasi rakyat Sabah yang inginkan supaya sambutan Hari Malaysia ini diberikan penekanan dan kepentingan yang lebih dan bukan hanya tumpuan diberi kepada Hari Kebangsaan 31 Ogos. Ini adalah aspirasi masyarakat kita di Sabah.

“Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana apabila beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun pertama perlantikannya, bukan sahaja 16 September itu beliau umum sebagai cuti umum tetapi sambutan Hari Malaysia telah diadakan di peringkat nasional dengan sambutan lebih bernilai, bermakna dan inklusif,” katanya.

Armizan yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ketua Umno Bahagian Papar berkata demikian kepada peberita selepas menyerahkan bendera berkenaan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang merupakan Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2017 sempena Mesyuarat Perhubungan Umno Sabah di sini malam tadi.

Menurut Armizan tarikh 16 September merupakan keramat kerana pada tarikh berkenaan  tertubuhnya negara Malaysia yang melibatkan komponen penting iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. – Bernama