151 kesalahan berkaitan GST

151 kesalahan berkaitan GST

KOTA KINABALU, 9 Jun (Bernama) – Sebanyak 151 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) direkodkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah sejak Ops GST bagi melindungi rakyat dilaksanakan, bulan lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata jumlah kes kesalahan itu termasuk gagal mengeluarkan invois, mempamerkan harga tidak termasuk cukai serta pengeluaran invois cukai tidak mengandungi butiran yang ditetapkan.

“Kota Kinabalu mencatatkan bilangan kes tertinggi berbanding daerah lain iaitu sebanyak 92 kes.

“Ini melibatkan perniagaan restoran (34), runcit (34), tempat letak kereta (10), pasar raya (lima), perkhidmatan (empat), aksesori kereta (dua), perkakasan (dua) dan telefon (satu),” katanya pada sidang media mengenai perkara itu di Wisma Kastam di sini hari ini.

Janathan turut mengingatkan semua syarikat supaya mematuhi peraturan seperti ditetapkan dalam Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini sebanyak 20,771 buah syarikat di Sabah mendaftar di bawah sistem pelaksanaan GST sejak ia dikuatkuasakan 1 April lepas.