151 projek JPS diluluskan sejak Jun 2015

151 projek JPS diluluskan sejak Jun 2015

KUCHING, 16 Ogos – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar meluluskan 151 projek kecil di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh Sarawak melibatkan kos lebih RM121 juta sejak pertengahan tahun lepas.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata projek itu diluluskan dalam lawatannya ke seluruh pelosok negeri Sarawak sejak dilantik menerajui kementerian itu.

Katanya lebih 99 peratus daripada projek itu telah dilaksanakan dan kebanyakannya sudah disiapkan, manakala selebihnya masih di pelbagai peringkat akhir seperti merangka reka bentuk, sebut harga, tender dan sebagainya, dan dijangka siap pertengahan tahun depan.

Beliau berkata setiap projek itu bernilai sekitar RM10 juta yang berkaitan dengan projek-projek pembaikan saliran, pasca banjir, pemuliharaan sungai, hakisan pantai dan sebagainya.

“Ini adalah projek-projek yang saya kira ‘touch point’ yang menyentuh terus kepada keperluan rakyat setempat, kita gigih mengusahakannya sekarang, ia bukan projek untuk election (pilihan raya), ini adalah projek kementerian, ini masih belum mengambil kira projek-projek kerajaan negeri,” katanya. – Bernama