153 tamat program ICT YDP

153 tamat program ICT YDP

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Program Pembangunan Belia ICT (ICT YDP) menyediakan platform pendidikan alternatif kepada belia tempatan khususnya lepasan peperiksaan ‘O’ Level bagi membangun keupayaan belia negara dalam bidang teknologi info komunikasi (ICT) yang memberikan pendedahan secara langsung kepada kemahiran ICT dan seterusnya ke alam pekerjaan.

Sehubungan dengan itu, seramai 153 peserta yang berjaya menamatkan Program ICT YDP pengambilan ke-2 diraikan di Majlis Tamat Latihan Program YDP yang berlangsung di Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil tamat latihan kepada para peserta ialah Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (IT dan e-Kerajaan) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta para peserta yang diraikan.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil kepada ketua kumpulan peserta ICT YDP yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sijil kepada ketua kumpulan peserta ICT YDP yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin bergambar ramai dengan peserta ICT YDP yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin bergambar ramai dengan peserta ICT YDP yang diraikan.

Pengarah Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bagi Program YDP kali ini, seramai 153 peserta telah berjaya menamatkan program berkenaan dan melalui program itu, ia telah menghasilkan belia yang mempunyai kemahiran asas dalam bidang IT Profesional, Multimedia dan Web Development.

Beliau juga menyatakan bahawa dua orang peserta program itu juga berjaya untuk memperoleh gred cemerlang bagi semua jenis peperiksaan persijilan yang diduduki oleh mereka.

Mengulas mengenai situasi masa kini para peserta program berkenaan, Awang Muhammad Norshafiee berkata, “Sehingga kini, daripada kesemua peserta yang menghadiri program YDP tersebut, seramai 63 orang peserta telah mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor industri, lapan pada masa ini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi manakala seramai 84 orang masih dalam proses mencari pekerjaan tetap.”

Dalam hubungan itu, beliau berkata pihak Pusat Kebangsaan e-Kerajaan menjalankan inisiatif lanjut bagi membantu belia-belia tersebut dalam usaha mendapatkan pekerjaan melalui sesi kaunseling dan juga nasihat kerjaya di mana-mana yang berkenaan.

Peserta program yang menerima sijil cemerlang ialah Dayangku Siti Norafizah binti Pengiran Aminorizam (IT Profesional) dan Awang Najib Ahmad (Information Worker).

Program ICT YDP merupakan projek kerjasama oleh Pusat Kebangsaan e-Kerajaan sebagai penganjur utama dengan sokongan dan sumbangan daripada Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI), Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) serta Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE).

Program itu dihasratkan menjadi aliran pendidikan alternatif bagi belia yang berusia di antara 18 hingga 25 tahun khususnya yang berhenti sekolah yang mendapat keputusan 4 O level atau kurang serta berminat ke arah pembangunan dan peluang ICT yang wujud dalam negara.

Melalui penyertaan mereka dalam program berkenaan, para peserta diharap akan dapat membangun kemahiran dan keupayaan mereka supaya lebih mudah dipasarkan bagi mendapat pekerjaan serta mempunyai tahap kompetensi yang diperlukan dalam pasaran kerja dalam tempoh enam bulan.

Bagi ICT YDP pengambilan ke-2, para peserta mengikuti program berkenaan bermula 6 Januari hingga 14 Julai di mana mereka melalui tiga bulan latihan bilik darjah dan tiga bulan latihan penempatan kerja.

ARTIKEL YANG SAMA