154 tan kurma kurnia akan diagih

154 tan kurma kurnia akan diagih

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Sejumlah 154 tan metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ akan diagih-agihkan kepada rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini sebagai kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena bulan Ramadan tahun ini.

Perkara ini telah dinyatakan semasa Mesyuarat Penyelarasan Pembahagian Kurma Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersempena bulan Ramadan tahun ini yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, pagi tadi.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Haji Brahim bin Haji Ismail dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daerah dan wakil-wakil dari Jabatan Daerah, pegawai-pegawai yang terlibat seperti dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan serta pegawai-pegawai Yayasan.

Mesyuarat antara lain membincangkan mengenai dengan sistem pengendalian dan pembahagian kurma kurnia, seterusnya melantik urus setia dan ahli-ahli jawatankuasa penyelaras pembahagian kurma bagi tahun ini yang akan diselenggarakan oleh Yayasan serta kerjasama jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat.

Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.
Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Tahun ini, kurma kurnia Baginda Sultan akan dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi yang akan dibahagikan kepada seluruh rakyat dan penduduk tanpa mengehadkan umur dan taraf kerakyatan, yang mana setiap rakyat Islam akan menerima satu kotak kecil mengandungi 300 gram kurma.

Kurma ini dihantar dengan menggunakan kapal laut dan dimuatkan dalam kontena berhawa dingin bagi memastikan kesegarannya dan dijangka sampai di Pelabuhan Muara pada minggu akhir bulan ini.

Pembahagian kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia tahun ini akan bermula dengan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma, di mana kurma-kurma berkenaan akan diserahkan kepada ketua-ketua kampung di seluruh negara yang kemudiannya akan mengagih-agihkannya kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan masing-masing.

Bagi anggota ABDB pula, buah-buah kurma akan diserahkan kepada pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, pengarah-pengarah unit di Kementerian Pertahanan dan kemudiannya akan mengagih-agihkan buah kurma tersebut kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing.

Sementara itu, bagi Pasukan Polis Diraja Brunei, ia akan diserahkan kepada pegawai-pegawai pemerintah dan pengarah formasi-formasi dan mereka kemudiannya akan mengagihkan buah kurma ini kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing. Buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa dalam bulan Ramadan dan pengurusan pembahagian kurma ini merupakan salah satu projek khas yang diungkayahkan oleh Yayasan setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA