154 tan kurma kurnia diagih

154 tan kurma kurnia diagih

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y. H

Gambar oleh Sim Y. H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan tahun ini, secara rasminya bermula hari ini dengan majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri.

Berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik, selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Pada tahun ini, sejumlah 154 tan metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ yang dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi akan diagihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini termasuk pekerja asing yang beragama Islam.

Menteri Pendidikan, dalam sembah alu-aluannya menjelaskan, proses penghantaran kurma dari Arab Saudi mengambil masa selama 17 hari dengan menggunakan kapal laut yang memuatkan 12 unit kontena berhawa dingin dan telah sampai di Pelabuhan Muara pada 23 April lalu.

Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

Menurut beliau, sejak 1992, pengurniaan buah kurma dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan pada 1995, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah diamanahkan untuk menguruskan pengendaliannya sehingga kini.

Pada majlis tersebut, Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengagihan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada penghulu-penghulu mukim (yang memangku jawatan ketua-ketua kampung), ketua-ketua kampung, para pemerintah dan komandan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta pengarah-pengarah formasi dan pegawai pemerintah Polis Diraja Brunei (PDB).

Dengan pelancaran ini, bermulalah pengagihan buah kurma kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam.

Ini bermakna setiap umat Islam yang menetap di negara ini tanpa mengira had umur dan tahap kerakyatan akan menerima kurnia buah kurma mereka di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.

Setelah majlis pelancaran ini, semua penghulu mukim (yang memangku jawatan ketua-ketua kampung) dan ketua-ketua kampung seterusnya akan mengagih-agihkan buah kurma berkenaan kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka.

Antara tetamu kenamaan yang hadir pada Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.
Antara tetamu kenamaan yang hadir pada Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.

Manakala itu, para pemerintah dan komandan-komandan ABDB serta para pengarah formasi dan pegawai-pegawai pemerintah Polis Diraja Brunei juga akan mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan di bawah jabatan dan unit formasi masing-masing.

Pengurniaan kurma kurnia peribadi Baginda ini merupakan kurnia peribadi Baginda kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan tanda kasih dan pemedulian Baginda di samping dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan di mana seperti yang diketahui pengurniaan seperti ini merupakan suatu perkara yang unik dan hanya boleh berlaku di Negara Brunei Darussalam.

Ketua-ketua kampung di seluruh negara dan mereka yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi Baginda ini diharap dapat menggunakan kebijaksanaan masing-masing supaya ia diterima dengan baik dan sempurna.

Selain itu, kurma kurnia itu juga diharap dapat dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sekali gus menjunjung hasrat dan niat suci Baginda mengurniakan buah kurma ini sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan nanti.

Sementara itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia Baginda ini.