154 tan metrik kurma ‘Safawy’ bakal diagihkan

154 tan metrik kurma ‘Safawy’ bakal diagihkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Sebanyak 154 tan metrik buah kurma jenis ‘Safawy’ akan diagih-agihkan kepada rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini sebagai kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena bulan Ramadan tahun ini yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sehubungan dengan itu, mesyuarat penyelarasan pembahagian kurma berkenaan telah diadakan, hari ini, di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Bangunan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, dan dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, sebahagian daripada pegawai-pegawai daerah dan wakil-wakil dari Jabatan Daerah, para pegawai yang terlibat seperti dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Pelabuhan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta pegawai-pegawai Yayasan.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan mengenai sistem pengendalian dan pembahagian Kurma Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena bulan Ramadan 1436 Hijrah serta pelantikan Ahli-ahli Urus Setia dan Jawatankuasa Penyelaras Pembahagian Kurma yang akan diselenggarakan oleh Yayasan dengan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat.

Pada tahun ini, kurma kurnia Baginda Sultan akan dibekalkan oleh Al Madinah Dates Company, Arab Saudi dan akan diagih-agihkan kepada rakyat dan penduduk tanpa mengehadkan umur dan taraf kerakyatan, yang mana setiap rakyat Islam akan menerima satu kotak kecil mengandungi 300 gram kurma.

Haji Brahim semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pembahagian kurma kurnia Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, di Bangunan Kompleks Yayasan, kelmarin.
Haji Brahim semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pembahagian kurma kurnia Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, di Bangunan Kompleks Yayasan, kelmarin.

Kurma ini dihantar dengan menggunakan kapal laut dan dimuatkan dalam kontena berhawa dingin bagi memastikan kesegaran buah kurma berkenaan dan dijangka sampai di Pelabuhan Muara pada minggu ketiga bulan Mei ini.

Pembahagian kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia tahun ini akan bermula dengan Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma, yang mana pada majlis itu nanti kurma-kurma berkenaan akan diserahkan kepada ketua-ketua kampung di seluruh negara yang kemudiannya akan mengagih-agihkannya kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka.

Sementara itu, bagi anggota ABDB, buah-buah kurma akan diserahkan kepada pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, para pengarah unit di Kementerian Pertahanan dan kemudiannya akan mengagih-agihkan buah kurma tersebut kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing.

Begitu juga bagi Pasukan Polis Diraja Brunei, yang mana buah-buah kurma itu nanti akan diserahkan kepada pegawai-pegawai pemerintah serta pengarah formasi-formasi dan mereka akan mengagihkan buah kurma kepada pegawai dan kakitangan di bawah unit masing-masing.

Buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ini adalah dihasratkan sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan dan pengurusan pembahagian kurma ini merupakan salah satu projek khas yang diungkayahkan oleh Yayasan setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA