1,555 pendaftar baru TAP Jan-Mac

1,555 pendaftar baru TAP Jan-Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Seramai 1,555 orang telah berdaftar sebagai pencarum baru Tabung Amanah Pekerja (TAP) sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, demikian menurut Perangkaan Pasaran Kerja Mac 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri hari ini.

JPKE telah menyediakan Laporan Perangkaan Pasaran Kerja (PPK) yang merangkumi anggaran bilangan terkini pencari kerja serta profil mengenai pengambilan baru dalam pekerjaan.

Bagi bulan Mac, bilangan pencarum baru yang berdaftar di TAP ialah seramai 502 orang, terdiri daripada 49 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan 453 orang di sektor swasta. Secara keseluruhan, jumlah pencarum yang baru berdaftar di TAP dari bulan Januari 2015 hingga Disember 2015 ialah seramai 6,800 orang.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 441 orang baru mendaftar sebagai pencari kerja di Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Sehingga bulan Mac 2016, bilangan pencari kerja dalam kalangan penduduk tempatan (rakyat Brunei dan penduduk tetap) berumur 18 hingga 59 tahun adalah seramai 10,073 orang.

Pihak kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan penyertaan anak-anak tempatan di dalam pasaran kerja di negara ini khususnya di sektor swasta, melalui dua pendekatan iaitu meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran anak tempatan lepasan peringkat ‘O’ dan ‘A’ dengan memberikan biasiswa atau latihan seperti Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional di Institusi Pengajian Swasta Dalam Negeri (BPTV), Skim Biasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional bagi Program Energy Industry Competency Framework (BPTV-EICF),dan Skim Latihan dan Pekerjaan (SLP).

Inisiatif lain adalah memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan melalui pengurangan kuota pengambilan pekerja-pekerja asing yang berkemahiran rendah.

ARTIKEL YANG SAMA