156 pengusaha bot setuju peraturan baru

156 pengusaha bot setuju peraturan baru

LABUAN, 21 Sept (Bernama) – Penguatkuasaan sepenuhnya dan pelaksanaan syarat bagi pengusaha bot laju penumpang bagi perkhidmatan Menumbok-Labuan perlu mempunyai insurans sejak 1 Feb, berjalan lancar.

Kesemua 156 pengusaha bot bersetuju untuk mematuhi peraturan baharu itu yang ditetapkan oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Labuan.

Pengarahnya Kapten Abel Ongkunik berkata susulan penguatkuasaan sepenuhnya keperluan insurans liabiliti itu, tambang bot naik sedikit sebanyak 70 sen (sebagai premium insurans) sebagai tambahan kepada RM7.50 bagi perjalanan sehala. Kadar tambang sebelum subsidi kerajaan bagi pengangkutan laut adalah RM15 bagi setiap perjalanan.

Katanya pelaksanaan liputan polisi insurans itu bertujuan untuk menjamin aspek keselamatan operasi bot berikutan syarat itu tidak pernah dikuatkuasakan sejak perkhidmatan itu mula beroperasi.

Bot tambang laju di terminal bot Labuan menunggu giliran untuk mengangkut penumpang ke Menumbok di tanah besar Sabah. Penguatkuasaan sepenuhnya terhadap perlindungan insurans ke atas bot tambang laju itu berjalan lancar sejak 1 Feb tahun ini. – Bernama
Bot tambang laju di terminal bot Labuan menunggu giliran untuk mengangkut penumpang ke Menumbok di tanah besar Sabah. Penguatkuasaan sepenuhnya terhadap perlindungan insurans ke atas bot tambang laju itu berjalan lancar sejak 1 Feb tahun ini. – Bernama

“Selepas hampir lapan bulan dilaksanakan, kami tidak menerima sebarang aduan daripada penumpang mahupun pengusaha bot. Kami percaya penumpang sedar pentingnya polisi insurans itu untuk keselamatan perjalanan mereka,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Syarikat pelaburan kerajaan Sabah, Progressive Insurance diberikan tanggungjawab untuk melakukan pemeriksaan terhadap bot bagi memastikan ia mematuhi syarat insurans itu sebelum dibenarkan beroperasi.

Abel berkata beliau juga baru-baru ini telah mencadangkan kepada anggota majlis penasihat Perbadanan Labuan (LC) agar syarat itu turut diperluaskan kepada bot yang beroperasi bagi laluan Labuan-Menumbok tetapi setakat ini belum menerima maklum balas.