Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 8 Sept – Seramai 157 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Rekrut Lelaki Pengambilan ke-159 telah berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan selama 27 minggu dan diraikan pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, TLDB.
Semasa menyampaikan ucapan, tetamu kehormat telah menekankan aspek disiplin dalam kalangan setiap anggota tentera dan disarankan untuk mempertahankan disiplin mereka sebagai anggota tentera sehingga bila-bila masa.
“Tanpanya, sesebuah pasukan tentera itu akan dilihat sebagai lemah dan kurang efektif,” tegas beliau.
Kapten (B) Dato Paduka Abdul Rahman juga menegaskan bahawa sebagai tentera, ia adalah kerjaya yang memerlukan pengorbanan dan seterusnya mempunyai semangat rela berkorban, sebagaimana yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di upacara Sovereign’s Parade Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-16, baru-baru ini.





Di upacara tersebut, tetamu kehormat terdahulu telah memeriksa perbarisan, menyampaikan ucapan dan seterusnya menyampaikan anugerah-anugerah kepada jurulatih dan rekrut-rekrut yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dijalankan.
Penerima-penerima tersebut ialah 52053 Rekrut Mohd Nurariffin bin Mohd Husain sebagai Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan, 52150 Rekrut (U) Mohammad Syafiq Zulhilmi bin Haji Suhaimi sebagai Kemahiran Tentera Terbaik, 52056 Rekrut Mohammad Daneeal Asyraf bin Saindi sebagai Rekrut Senjata Ringan Terbaik, 52132 Rekrut (L) Mohd Suahiri bin Suaraday menerima Anugerah Latihan Jasmani Terbaik, 17485 Sarjan Awang Julaihi bin Haji Awang Shari menerima Anugerah Platun Sarjan Terbaik dan 16819 Koperal Rano Zakhran bin Tajudin menerima Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik.
Turut hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemangku Pemerintah ABDB, Brigadier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota ABDB serta ahli keluarga rekrut yang diraikan.

























