16 ekor buaya dipelihara tanpa lesen dirampas

16 ekor buaya dipelihara tanpa lesen dirampas

BAU, 22 Mac – Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan sebuah ladang babi di Jalan Sungai Pinang di sini yang menternak 16 ekor buaya pelbagai saiz tanpa lesen dalam serbuan, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-11 PGA Supt Soh Hock Seng berkata dalam serbuan pada 3 petang itu, operasi diketuai ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff bersama tiga anggota, turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.

Menurutnya operasi bersama seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dua pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu merupakan tangkapan pertama PGA Batalion 11 melibatkan buaya tahun ini.

“Hasil maklumat awam, anggota telah melakukan risikan selama seminggu sebelum pasukan Batalion 11 PGA, SPRM dan SFC membuat serbuan ke lokasi dan merampas 16 ekor buaya bersaiz antara 12 dan 20 kaki.

“Hasil siasatan awal mendapati pusat penternakan babi itu tiada lesen untuk memiliki dan membela reptilia berkenaan.

Pemilik melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Bab 26 Sek 29 (2),” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama