16 lulus Kursus Asas Pertolongan Cemas

16 lulus Kursus Asas Pertolongan Cemas

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Seramai 16 kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) At-Tamwil Berhad telah berjaya menamatkan Kursus Asas Pertolongan Cemas selama dua hari yang diadakan di Pusat Resusitasi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, di ibu negara, pada 18 November lalu.

Kesemua peserta berkenaan lulus dalam ujian peperiksaan setelah menjalani latihan praktikal dan teori selama tiga jam dan telah menerima sijil masing-masing yang diiktiraf sah oleh Kementerian Kesihatan selama dua tahun.

Kursus anjuran BIBD At-Tamwil Berhad dengan kerjasama kementerian berkenaan adalah untuk mempersiapkan kakitangannya dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengenal pasti dan memberikan penjagaan pertolongan cemas ke atas mereka yang cedera atau mengalami penyakit mendadak sehingga kakitangan perubatan tiba untuk memberi bantuan selanjutnya.

Kursus berkenaan adalah salah satu usaha BIBD At-Tamwil Berhad dalam memastikan syarikat itu beroperasi dalam keadaan persekitaran tempat kerja yang selamat dan melatih para pekerjanya untuk bersiap sedia sekiranya berdepan sebarang kecemasan.

Kakitangan BIBD At-Tamwil Berhad bergambar ramai bersama tenaga pemudah cara ketika menjalani Kursus Asas Pertolongan Cemas.
Kakitangan BIBD At-Tamwil Berhad bergambar ramai bersama tenaga pemudah cara ketika menjalani Kursus Asas Pertolongan Cemas.

ARTIKEL YANG SAMA