16 maut banjir di Perancis

16 maut banjir di Perancis

NICE, Perancis, 4 Okt (AFP) – Ribut dan banjir di sepanjang kawasan pantai Perancis membunuh 16 orang pada awal hari ini, kata pengawal kecemasan dan tempatan, termasuk tiga orang yang mati lemas dalam sebuah rumah persaraan yang dibanjiri apabila tebing sebatang sungai pecah.

Lima orang lain dipercayai telah terbunuh ketika mereka berusaha meletak kereta mereka di tempat berlindung, menurut pihak berkuasa tempatan, sementara penggerak balas kecemasan berkata tiga orang lain mati lemas dalam kereta mereka apabila ia terperangkap dalam sebuah terowong.

Banjir teruk di sepanjang Cote d’Azur, di tenggara Perancis, melihat Sungai Brague memecah tebingnya berhampiran bandar Antibes dan menyebabkan ombak menghempas rumah untuk orang tua berhampiran.

Seorang wanita dalam umur enam puluhan meninggal dunia di jalan di bandar peranginan Cannes apabila ribut besar melanda rantau pada malam semalam, menyebabkan air dan serpihan mengalir turun serta membanjiri jalan raya di bandar pesta terkenal dan kawasan berdekatan, Nice. Seorang lagi mangsa ditemui mati di tapak perkhemahan Antibes, menurut pegawai tempatan.

Kereta dihanyutkan ke dalam longkang selepas banjir yang melanda Riviera, Perancis. – AFP
Kereta dihanyutkan ke dalam longkang selepas banjir yang melanda Riviera, Perancis. – AFP

“Beberapa kereta dihanyutkan ke laut,” kata Datuk Bandar Cannes Davis Lisnard, menggambarkan paras air mencecah separuh pintu kereta dan pokok tumbang di jalan utama bandar.

“Kami telah menyelamat ramai orang, dan kini kami mesti mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penjarahan,” tambah beliau, mengumumkan satu pelan kecemasan sudah dikuatkuasakan untuk mengerah polis, penggerak balas kecemasan dan perkhidmatan perbandaran.

Menteri Dalam Perancis Bernard Cazeneuve dijangka melawat kawasan terjejas pada pagi ini untuk menilai usaha menyelamat, kata jurucakapnya.

Presiden Perancis Francois Hollande mengucap terima kasih kepada anggota menyelamat dan ahli politik atas usaha mereka setakat ini, menyatakan “perpaduan negara” dan menawarkan ucapan takziah kepada keluarga yang terjejas, sementara Perdana Menteri Manuel Valls bercakap mengenai “kesedihannya” sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kematian berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA