16 maut tanah runtuh di Sri Lanka

16 maut tanah runtuh di Sri Lanka

COLOMBO, 18 Mei (AFP) – Pekerja menyelamat pada hari ini menemui 16 mayat penduduk kampung yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Sri Lanka selepas hujan lebat selama tiga hari.

Bencana itu melanda dua kampung kecil di Kegalle, kawasan pergunungan di timur laut Colombo, dan membawa jumlah kematian keseluruhannya akibat banjir dan runtuhan tanah dalam beberapa hari ini kepada 35.

Kerajaan Sri Lanka telah menghantar tentera untuk memindahkan penduduk yang tinggal di cerun atau di kawasan yang terjejas oleh banjir dan tentera laut dan tentera udara juga telah dikerah untuk membantu dengan operasi menyelamat.

Jurucakap Pusat Pengurusan Bencana Pradeep Kodippili berkata Kegalle mudah terdedah kepada runtuhan tanah dan kebanyakan penduduk yang tinggal di sana telah melarikan diri dari rumah mereka selepas hujan.

Warga Sri Lanka berjalan di atas lumpur selepas kejadian tanah runtuh yang terbesar di Aranayaka di Daerah Kegalle, kira-kira 72 kilometer (45 batu) ke utara Colombo, Sri Lanka kelmarin. – AP
Warga Sri Lanka berjalan di atas lumpur selepas kejadian tanah runtuh yang terbesar di Aranayaka di Daerah Kegalle, kira-kira 72 kilometer (45 batu) ke utara Colombo, Sri Lanka kelmarin. – AP

Beliau mengetepikan satu kenyataan daripada Palang Merah Sri Lanka bahawa beratus penduduk kampung telah hilang, berkata kebanyakan mereka telah ditemui dan jumlah kematian tidak dijangka naik mendadak.

“Selain daripada bencana di Kegalle, kami telah mencatat 19 kematian berkaitan cuaca dalam beberapa hari ini,” tambah beliau.

Hampir 350,000 orang telah terjejas oleh banjir di Sri Lanka dan 200,000 sedang mendapatkan perlindungan di pusat kebajikan yang dikendalikan oleh kerajaan.

Jabatan kaji cuaca berkata hujan lebat adalah berpunca daripada tekanan rendah di Teluk Bengal dan dijangka reda pada hari ini.