16 orang sertai kursus pengadil futsal

16 orang sertai kursus pengadil futsal

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Memandangkan bilangan pengadil futsal yang aktif kini pada tahap ‘tenat’, maka Kursus Asas Pengadil Futsal 2016 anjuran Jabatan Pengadil, NFABD yang bermula hari ini diharap akan dapat membantu menambah jumlah pengadil futsal tempatan yang aktif.

Ketua Jabatan Pengadil, NFABD, Awang Tamat bin Budin menyatakan bahawa aktiviti sukan futsal di Brunei Darussalam sangat aktif sehingga hanya bulan Ramadhan ianya direhatkan, maka jumlah pengadil futsal aktif yang tidak mencapai sepuluh orang ketika ini adalah sangat tidak memadai.

“Jika pengadil yang sama bertugas dari pagi hingga ke malam, maka ia hanya akan menjatuhkan prestasi seseorang pengadil itu akibat keletihan, sekaligus akan turut menjejaskan mutu pengadilan sesebuah perlawanan,” tambahnya ketika berucap sebelum kursus berkenaan dimulakan pagi ini.

Seramai 16 orang peserta mengikuti kursus empat hari yang bermula di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan. Kursus akan hanya dijalankan setiap Jumaat dan Ahad, iaitu pada 15, 17, 22 dan 24 Januari ini merangkumi sesi teori dan amali.

Tiga orang instruktor tempatan akan memudahcara kursus berkenaan iaitu Instruktor Pengadil FIFA, Haji Junaidi bin Haji Serudin, Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman dan Pengadil FIFA, Sukry bin Haji Matassim.

Peserta Kursus Asas Pengadil Futsal bersama AJK, Awang Tamat (4 kanan), Awang Zulkifli (tengah), Haji Hamidon (empat kiri) dan Awang Bakri (tiga kanan).
Peserta Kursus Asas Pengadil Futsal bersama AJK, Awang Tamat (4 kanan), Awang Zulkifli (tengah), Haji Hamidon (empat kiri) dan Awang Bakri (tiga kanan).

Turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Yang Dipertua AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Matzin, Naib Yang Dipertua, Bakri bin Haji Bintang dan komiti yang terdiri daripada para pengadil futsal tanahair. Hadir sama ke pembukaan kursus berkenaan ialah EXCO NFABD merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, Zulkifli bin Haji Duraman.

Di sepanjang kursus empat hari berkenaan, para peserta akan turut melalui ujian kecergasan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), sesi pembelajaran Undang-Undang Permainan dan ujian bertulis di NFABD House, serta sesi amali di Dewan Serbaguna, KSNHB.

Dalam ucapannya, Awang Tamat turut menyentuh mengenai peranan dan tugas Jabatan Pengadil, NFABD yang ditubuhkan atas arahan FIFA pada 1 Ogos 2013, yang bertanggungjawab dalam menganjurkan program-program pembangunan pengadil.

Selain menambah bilangan pengadil, jabatan itu turut bertanggungjawab dalam meningkatkan mutu pengadil dan pengadilan perlawanan, memastikan konsistensi pengadilan Undang-Undang Permainan di semua peringkat, dan menseragamkan penggunaan Undang-Undang Permainan.

Beliau turut memberikan galakan kepada para pengadil baru supaya bergiat aktif kerana dengan keaktifan mereka maka pihak jabatan tidak akan susah mencari pengadil untuk kejohanan di semua peringkat sama ada antarabangsa mahupun domestik.

Menurutnya tiada ‘seniority’ dalam pengadil kerana apa yang Jabatan Pengadil, NFABD nilai adalah ‘performance’, komitmen dan kecergasan seseorang pengadil itu. Adalah memalukan jika seseorang pengadil itu gagal ujian kecergasan di luar negara sehingga terpaksa balik dengan membayar tambang sendiri, tambahnya.

Maka jika tiga-tiga nilai itu dimiliki oleh seseorang pengadil, maka mereka akan mendapat sokongan penuh untuk menghadiri kursus-kursus pengadil di luar negara, ujar Awang Tamat lanjut.

“Pengadil merupakan profesien yang menyeronokkan dan penuh cabaran sehinggakan ada yang mampu bertahan lama tetapi tidak kurang juga yang sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, maka peluang pengadil baru untuk memajukan diri masing-masing adalah terbuka luas pada masa ini.”