16 pasukan berentap dalam Liga Remaja B-16

16 pasukan berentap dalam Liga Remaja B-16

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Sebanyak 10 pasukan Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD 2016 dan enam pasukan bukan liga akan bersaing pada Piala Remaja Elit NFABD 2016 dari 7 Oktober hingga 11 November nanti.

Cabutan undi telah dijalankan petang ini di NFABD House di depan Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan ExCo NFABD yang lain.

Empat perlawanan pembuka tirai pada pagi 7 Oktober nanti ialah Tabuan ‘B’ lawan Kilanas FC Junior, PLBMB lawan PERDA FC, PIP lawan BESA FC dan Tabuan 03 lawan MSN United FC.

Sepuluh pasukan yang menyertai Piala Remaja Elit ialah Tabuan ‘A’, PIP, Tabuan ‘B’, Kasuka FC, Rimba Star, Al Idrus Junior, BESA FC, Kilanas FC Junior, BTC Redstar dan PERDA FC.

Sementara enam pasukan bukan liga ialah Tabuan 03 yang pemainnya terdiri daripada remaja yang lahir pada Tahun 2003, Tabuan 04 yang pemainnya terdiri daripada remaja yang lahir pada Tahun 2004, MSN United FC, Parma Junior FT, PLBMB dan Najip I-Team.

Pengiran Mohd Amirrizal (tengah) bergambar bersama para pengurus, jurulatih dan wakil pasukan yang menyertai Piala Remaja Elit NFABD 2016.
Pengiran Mohd Amirrizal (tengah) bergambar bersama para pengurus, jurulatih dan wakil pasukan yang menyertai Piala Remaja Elit NFABD 2016.

Kejohanan peringkat kumpulan akan dijalankan secara liga satu pusingan dan hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kedua yang juga akan dijalankan dalam format liga satu pusingan empat pasukan sekumpulan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan meneruskan kemaraan ke separuh akhir, disusuli final yang akan menyaksikan pertembungan antara dua pasukan yang menang separuh akhir.

Kejohanan akan menggunakan Padang Turf NFABD, Kompleks Sukan Menglait, Kompleks Sukan Berakas, Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan Kompleks Sukan Tutong.

Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan bagi menyaksikan 40 perlawanan itu nanti. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang NFABD di www.nfabd.org.

ARTIKEL YANG SAMA