16 pelajar IBTE tingkat pembangunan pasukan

16 pelajar IBTE tingkat pembangunan pasukan

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 28 Jan – Dalam mengeratkan lagi silaturahim, sekumpulan pelajar seramai 16 orang dari Akademi Maritim Brunei, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), telah mengikuti aktiviti pembangunan pasukan yang diadakan di Taman Peranginan Tasik Anduki, Lumut, di sini, hari ini.

Seorang tenaga pengajar, Dayang Alice Ng ketika ditemui berkata, acara sebegini adalah sebahagian daripada program ‘Co-Studies’ dengan penglibatan dari tiga seksyen berlainan iaitu mata pelajaran Sains, MIB (Melayu Islam Beraja) dan Matematik, yang mana aktiviti tersebut dikendalikan di bawah seliaan tiga lagi tenaga pengajar. Menurut beliau, kesemua pelajar yang terlibat sedang mengambil Diploma dalam Kursus Kejuruteraan Marin sedang menjalani semester kedua dalam Tahun Satu.

“Pelajar-pelajar yang mengikuti acara hari ini semuanya adalah berdisiplin dan mempunyai tingkah laku yang sangat baik. Apa yang ingin dipertingkatkan lagi adalah semangat berpasukan mereka, yang menjadi salah satu matlamat aktiviti yang ingin disampaikan di sini,” tambah beliau.

Antara acara yang diadakan termasuk permainan lumba lari kaki tiga, lumba lari dalam guni dan lari membawa bola pingpong serta larian senaman mengelilingi Tasik Anduki.

Para pelajar MKJB bersama guru-guru mereka semasa berada di Taman Peranginan Tasik Anduki.
Para pelajar MKJB bersama guru-guru mereka semasa berada di Taman Peranginan Tasik Anduki.

Dayang Alice Ng menambah, selain daripada mengadakan barbeku bersama-sama kalangan kumpulan mereka sendiri, dengan penglibatan mereka dalam acara permainan yang diadakan diharap akan dapat mengajar mereka semua erti nilai-nilai teras MKJB iaitu memupuk semangat kerja berpasukan, memupuk rasa tanggungjawab, memahami aplikasi kemahiran hidup di luar bilik darjah di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, interaksi dan kepimpinan.

ARTIKEL YANG SAMA