16 pelajar ITB kunjungi TelBru

16 pelajar ITB kunjungi TelBru

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Seramai 16 orang pelajar tahun akhir program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Institut Teknologi Brunei (ITB), hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke ‘TelBru Telephone House’ di Sumbiling.

Lawatan yang juga disertai oleh tenaga pengajar daripada institut tersebut bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan telekomunikasi di Brunei, mendapatkan pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik mengenai perkhidmatan teras dan rangkaian sistem TelBru terutama pada data komunikasi dan gentian komunikasi optik.

Di samping itu juga, ia diharap dapat membantu para pelajar dalam melakukan projek akhir mereka dengan pendedahan teknologi semasa yang terdapat dalam industri telekomunikasi.‘Sumbiling Telefon House’ merupakan salah satu dari bangunan TelBru yang dilengkapi dengan rangkaian yang beroperasi bagi penyelenggaraan mata stesen utama dan teknikal seperti kabel telefon, pautan jalur lebar, kawalan IT pusat dan pelayan pautan.

Gambar ramai pelajar semasa lawatan tersebut.
Gambar ramai pelajar semasa lawatan tersebut.

Semasa lawatan tersebut, para pelajar juga dibawa melawat ke beberapa unit pengendalian utama di TelBru seperti rangkaian pusat pemantauan, transmisi, operasi penukaran dan penyelenggaraan oleh kakitangan teknikal TelBru daripada setiap unit.

Mereka juga turut diberi penerangan mengenai proses aliran mengenai operasi sistem dan penyelenggaraan.