16 pelajar Politeknik ikuti kursus pengadil

16 pelajar Politeknik ikuti kursus pengadil

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Seramai 16 orang pelajar Politeknik Brunei kini sedang mengikuti Kursus Pengadil Bolasepak Kelas 3 NFABD-Politeknik Brunei 2016 yang bermula hari ini.

Kursus empat hari pada 7 hingga 9 dan 11 Mac berkenaan merupakan program pertama di bawah Memorandum Persefahaman NFABD dengan Politeknik Brunei yang telah dimeterai pada 23 November 2015 yang lalu di NFABD House.

Kursus yang merangkumi sesi teori dan amali termasuk Ujian Kecergasan dan Ujian Bertulis di hari terakhir kursus pada 11 Mac nanti itu dimudahcara oleh lima orang instruktor tempatan, kesemuanya Instruktor Pengadil FIFA.

Mereka terdiri daripada Degat anak Chandau, Mohd Yusof Zaki bin Haji Serudin, Mohd Yusof bin Abdullah, Pengiran Haji Aliuddin bin Pengiran Haji Tajuddin dan Mohd Rahim bin Kati.

Para pelajar Politeknik Brunei yang menyertai Kursus Pengadil Bolasepak Kelas 3 NFABD bersama pemudahcara kursus.
Para pelajar Politeknik Brunei yang menyertai Kursus Pengadil Bolasepak Kelas 3 NFABD bersama pemudahcara kursus.

Turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Awang Tamat bin Haji Budin dan EXCO NFABD merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, Zulkifle bin Haji Duraman yang akan mengendalikan sesi kecergasan bersama Mohd Rahim.

Pada dua hari pertama kursus, para peserta akan belajar mengenai Undang-Undang Permainan Bolasepak di bilik kuliah Politeknik Brunei, manakala pada hari ketiga kursus mereka akan mengikuti sesi amali di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

ARTIKEL YANG SAMA