16 pensyarah sertai kursus latihan kebakaran

16 pensyarah sertai kursus latihan kebakaran

KUALA BELAIT, 3 Nov – Seramai 16 pensyarah dari Politeknik Brunei telah lulus dengan kepujian dalam Kursus Latihan Kebakaran dan Kecemasan (Marsyal Bomba) yang dikendalikan selama tiga hari oleh Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi B, Daerah Belait, baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari Politeknik Brunei yang diterima di sini, hari ini, dalam program latihan tersebut, para pensyarah telah diberi penerangan mengenai tugas-tugas dan fungsi Jabatan Bomba dan Penyelamat; mengikuti sesi-sesi latihan seperti sesi latihan program kawad kebakaran (fire drill) di Kampus Lumut Politeknik Brunei, dan sesi latihan jasmani dan demonstrasi keselamatan yang dijalankan di Jabatan Bomba Cawangan Operasi ‘B’, serta menduduki peperiksaan keselamatan dan tatacara pencegahan kebakaran secara bertulis.

Kursus latihan yang diadakan bermula 20 Oktober itu antara lain bertujuan untuk menilai tahap kecekapan dan sensitiviti warga sekolah institusi tersebut terhadap situasi kecemasan seperti kebakaran.

Penolong Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei, Haji Mohd Reizal ketika melakukan latihan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam kebakaran jenis debu kering.
Penolong Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Politeknik Brunei, Haji Mohd Reizal ketika melakukan latihan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam kebakaran jenis debu kering.
Para pensyarah dan anggota Bomba dan Penyelamat bergambar ramai bersama Pegawai Pemerintah Balai Bomba Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait.
Para pensyarah dan anggota Bomba dan Penyelamat bergambar ramai bersama Pegawai Pemerintah Balai Bomba Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait.

Selain itu, dengan kerjasama dan tunjuk ajar yang disampaikan oleh Pegawai Balai, Dayang Azlina binti Haji Adnan dan anggota Bomba dan Penyelamat dari jabatan berkenaan, ia juga dapat menyuntik semangat kepada para pensyarah agar lebih peka terhadap kepentingan keselamatan khususnya dalam situasi kebakaran, kecemasan serta reaksi serta merta masing-masing terhadap mencapai piawaian masa yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sebelumnya, latihan seperti ini juga pernah diadakan bagi pegawai-pegawai di Kampus Utama Bandar Seri Begawan, Politeknik Brunei dalam menunjukkan keprihatinan dan keutamaan pihak Politeknik Brunei bagi memastikan keselamatan warganya dari segala aspek termasuklah keselesaan pengendalian pengajaran dan pembelajarannya.

ARTIKEL YANG SAMA