16 peserta menerima sijil pengadil

16 peserta menerima sijil pengadil

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Pengadil futsal tempatan bertambah 16 orang lagi apabila peserta Kursus Asas Pengadil Futsal anjuran Jabatan Pengadil NFABD menerima sijil penyertaan masing-masing petang ini.

Hadir ke Majlis Penutup Kursus di NFABD House itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus ialah EXCO NFABD merangkap Yang Di-Pertua Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam, Awang Zulkifle bin Haji Duraman.

Dalam ucapan penutupnya, Awang Zulkifle menegaskan negara sememangnya sangat memerlukan pengadil futsal baru kerana kekurangan pengadil futsal sangat dirasai memandangkan aktiviti sukan futsal di negara ini semakin meningkat lebih-lebih lagi Liga Futsal Brunei (BFL) sudah bermula tahun lalu. Beliau sangat berharap para pengadil futsal baru akan terus mengaktifkan diri mereka dalam BFL 2016 supaya kebolehan dan kelayakan mereka dapat dipantau dan dinilai sebelum mereka dianugerahkan Sijil Pengiktirafan.

Jika dahulu setiap peserta akan terus menerima Sijil Pengiktirafan, kini pihak persatuan mengambil langkah mengubahnya kerana ramai peserta kursus dahulu tidak aktif selepas kursus, menjadikan sijil yang diterima mereka itu hanya menjadi sia-sia, jelasnya.

Awang Zulkifle (kiri) ketika menyampaikan Sijil Penyertaan Kursus Asas Pengadil Futsal NFABD kepada salah seorang peserta.
Awang Zulkifle (kiri) ketika menyampaikan Sijil Penyertaan Kursus Asas Pengadil Futsal NFABD kepada salah seorang peserta.
Awang Zulkifle bergambar ramai bersama para peserta yang menamatkan kursus tersebut.
Awang Zulkifle bergambar ramai bersama para peserta yang menamatkan kursus tersebut.

Awang Zulkifle menyeru pengadil baru supaya terus memajukan diri mereka biar sampai mencapai ke tahap tertinggi iaitu terlibat menjadi pengadil dalam Piala Dunia sebagaimana pernah dicapai Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman yang pernah mengadili perlawanan Piala Dunia Antara Kelab.

“Setiap pengadil perlu ada wawasan dan sasaran kenapa mengikuti kursus berkenaan. Yang ada kebolehan walaupun baru, akan berpeluang besar menjadi Pengadil FIFA. Kita mahu melahirkan pengadil berkualiti. Itu sangat penting. Persatuan akan bantu kamu sehingga kamu mencapai cita-cita itu. Apa yang penting ada kemahuan,” tegasnya.

Selain Haji Dasnan menjadi pemudah cara kursus empat hari, setiap Jumaat dan Ahad, bermula 15 Januari 2016 berkenaan, ia turut dimudah cara oleh Instruktor Pengadil FIFA, Haji Junaidi bin Haji Serudin, dan Pengadil FIFA, Awang Sukry bin Haji Matassim. Turut membantu menjayakan kursus berkenaan ialah Yang Di-Pertua AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Matzin, Naib Yang Di-Pertua, Awang Bakri bin Haji Bintang dan komiti yang terdiri daripada para pengadil futsal tanah air.

Haji Hamidon dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan tujuan kursus itu diadakan adalah untuk menambah bilangan pengadil futsal yang sangat terhad dalam menampung jumlah kejohanan futsal di Negara ini dan mencari pengadil berpotensi bagi diketengahkan mengadili kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan.

Ia juga bertujuan untuk mencari pengadil berpotensi untuk disokong ke peringkat lebih tinggi iaitu Pengadil Futsal FIFA, di samping bagi meningkatkan pembangunan sukan futsal di negara ini.

Haji Hamidon menegaskan untuk menjadi pengadil yang bagus, seseorang itu mestilah cergas daripada segi mental dan fizikal, memahami undang-undang permainan dengan baik, membuat keputusan daya tepat dan pada masa yang tepat, berani dan tegas apabila membuat keputusan, serta adil dan jujur.

Wakil peserta, Pengiran Abdul Aziz bin Pengiran Haji Azahari dalam ucapannya berkata, “Kita bukan turun sebagai pengadil untuk main-main atau suka-suka malah kita juga ingin memberikan persembahan terbaik kerana kita juga memainkan peranan dalam sukan futsal kerana sukan kita, mutu persembahan kita adalah wajah negara kita.”

ARTIKEL YANG SAMA