160 ahli keluarga CCHM diraikan

160 ahli keluarga CCHM diraikan

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Seramai 160 anak cucu cicit keluarga Haji Metali (CCHM) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Program Bertadarus Al-Quran Bulan Ramadan buat kali ke-2 yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mantan Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Haji Awang Ibrahim bin Haji Awang Mohd Ali dan isteri.

Majlis itu juga diselajurkan dengan Majlis Tahlil dan Penyampaian Derma kepada anak-anak yatim, kurang upaya, fakir miskin dan warga emas dalam kalangan keluarga CCHM yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Sebelum berbuka puasa bersama-sama, Persembahan Tausyeh warga CCHM yang diketuai oleh Hajah Rogayah binti BPKDP Haji Sirat menyerikan lagi majlis tersebut.

Tetamu kehormat majlis menyampaikan derma kepada salah seorang warga emas.
Tetamu kehormat majlis menyampaikan derma kepada salah seorang warga emas.
Bunga telur diagih-agihkan semasa Dikir Marhaban oleh para wanita CCHM.
Bunga telur diagih-agihkan semasa Dikir Marhaban oleh para wanita CCHM.

Pengerusi Program Bertadarus dan Khatam Al-Quran, Yang Di-Pertua CCHM, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don berkata, seramai 160 orang dikenal pasti pandai membaca Al-Quran daripada keturunan CCHM yang melebihi 600 orang.

Program tersebut dilaksanakan dari rumah ke rumah CCHM pada setiap hari Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam pada bulan Ramadan sama ada dibuat antara waktu Zohor hingga Asar atau waktu Asar hingga menyungkaikan waktu Maghrib.

Daripada sembilan kali bertadarus Al-Quran yang diadakan, sebanyak lima kali Khatam Al-Quran telah dilaksanakan dengan sempurnanya termasuk acara pada hari ini, tambahnya.

Beliau seterusnya menyatakan harapan dengan kegigihan dan kejayaan acara ini maka tahun seterusnya akan dapat dilaksanakan lagi dengan gabungan daripada keluarga lain yang mempunyai hubungan dengan keturunan CCHM dan yang pasti niat yang lurus dan ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah dengan mengagungkan dan membaca Al-Quran dalam bulan Ramadan yang mubarak ini.

ARTIKEL YANG SAMA