160 masih terperangkap di kawasan Gunung Kinabalu

160 masih terperangkap di kawasan Gunung Kinabalu

KUNDASANG, 5 Jun (Bernama) – Sejumlah 160 daripada 195 pendaki dikenal pasti masih terperangkap di Gunung Kinabalu berikutan kejadian gempa bumi pagi tadi.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata 35 daripada 195 pendaki itu telah dan sedang di bawa turun ke Timpohon Gate, tapak permulaan pendakian gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

“Keutamaan kita sekarang adalah untuk menghantar bantuan kepada mereka yang masih terperangkap dari segi keperluan makanan dan minuman serta pakaian seperti baju sejuk,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi ini di Ranau dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Menurut Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional, pusat gempa itu terletak 16km di barat laut Ranau.

Masidi berkata satu pusat gerakan operasi Taman Kinabalu telah ditubuhkan bagi menyelaras semua kerja menyelamat dan penghantaran bantuan.

Pihak polis dan pengurusan Taman-Taman Sabah termasuk anggota keselamatan yang lain juga sedang berusaha untuk membawa mereka yang terperangkap turun dari gunung setinggi 4,095.2 meter itu, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kabus tebal menyukarkan operasi penghantaran bantuan, khususnya melibatkan penggunaan helikopter.

“Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein juga telah mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia menggerakkan bantuan helikopter yang diterbangkan dari pangkalannya di Labuan.

Selain itu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Kuala Lumpur juga akan turut serta dalam misi ini,” katanya.

Masidi turut memaklumkan tiada individu maut, namun dua kakitangan yang menjaga lorong pendakian ke gunung atau dikenali sebagai Via Ferrata dikenal pasti hilang dan masih belum dijumpai.

Di samping itu, beliau turut mengesahkan salah satu daripada ikon puncak Gunung Kinabalu iaitu ‘Donkey’s Ears’, batu yang menyerupai sepasang telinga keldai, telah patah.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata tiga pendaki dilaporkan cedera termasuk seorang pelancong wanita.

“Seorang wanita Turki bernama Semiha Turkay, 35 mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan patah kaki kiri.

“Malim gunung Ruby Sapinggi, 30 pula cedera di kepala, manakala seorang jurulatih pendakian gunung tempatan James Mikol, 29 cedera di kaki dan tangan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Kota Kinabalu.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa telah dibawa turun dari gunung dan dihantar ke Hospital Daerah Ranau untuk rawatan.

Jalaluddin turut memaklumkan selain Ranau, dua daerah melaporkan mengalami kerosakan pada struktur bangunan iaitu Tuaran dan Kota Belud akibat gempa bumi itu.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar tidak sahih mengenai kejadian gempa bumi itu di laman-laman media sosial, khususnya aplikasi WhatsApp, kerana akan mengundang panik dalam kalangan masyarakat.