161 murid semarakkan Majlis Khatam Al-Quran

161 murid semarakkan Majlis Khatam Al-Quran

Oleh Md Haslen

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Seramai 161 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah Kampung Mentiri, hari ini, diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Rancangan Perumahan Negara Kampung Mentiri, di sini.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Ketua Unit Audit Dalaman, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Junaidi bin Haji Abdullah selaku tetamu kehormat.

Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang bermula Surah Ad-Dhuha sehingga ke Surah An-Nas oleh para peserta, dan seterusnya bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 4 hingga 6.

Sementara itu, Doa Khatam Al-Quran pula dibacakan oleh Awang Muhammad Nabiela An Najla bin Haji Juanda, murid Darjah 6 Tsa (sesi petang).

Awang Junaidi ketika merenjis wangian kepada salah seorang peserta khatam Al-Quran.
Awang Junaidi ketika merenjis wangian kepada salah seorang peserta khatam Al-Quran.
Seramai 161 orang murid diraikan semasa Majlis Khatam Al-Quran tersebut.
Seramai 161 orang murid diraikan semasa Majlis Khatam Al-Quran tersebut.

Menyemarakkan lagi majlis ialah persembahan Dikir Marhaban yang dilaungkan oleh murid-murid lelaki Darjah 3, 4 dan 6.

Majlis seterusnya diikuti dengan penyampaian sijil-sijil khatam serta merenjis wangian kepada para peserta khatam yang didahului oleh tetamu kehormat dan kemudian diikuti oleh para jemputan khas serta Ibu-bapa para peserta.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Guru Kanan Disiplin dan Hal Ehwal Pelajar (sesi petang), Awang Ismawi bin Haji Maidin.