164 rekrut ABDB tamat latihan

164 rekrut ABDB tamat latihan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Mac – Seramai 164 orang rekrut lelaki Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Pengambilan ke-155 telah menamatkan latihan asas ketenteraan selama 27 minggu dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad Institut Latihan ABDB (IL ABDB), Penanjong Garison, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat yang menerima tabik hormat pada upacara itu ialah Setiausaha Tetap (Pengurusan dan Antarabangsa) di Kementerian Kewangan, Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera dan Komandan, para pengarah, pegawai kanan dan ahli-ahli keluarga rekrut yang diraikan.

Semasa menyampaikan ucapannya, Haji Nazmi percaya bahawa latihan yang dijalani selama tujuh bulan itu akan membentuk para rekrut untuk menjadi individu berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, berintegriti, dan mempunyai semangat kenegaraan tinggi yang mana kualiti sebegini perlu dicontohi kepada para belia dan generasi muda di negara ini.

Katanya lagi, para rekrut juga dilengkapi dengan nilai-nilai sahsiah yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan dan nilai-nilai teras ABDB yang membentuk para rekrut sebagai aset yang berguna dalam memantapkan benteng barisan hadapan pertahanan negara.

Haji Nazmi ketika memeriksa perbarisan anggota ABDB yang baru menamatkan latihan.
Haji Nazmi ketika memeriksa perbarisan anggota ABDB yang baru menamatkan latihan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan, 51471 Mohd Harisuddin bin Zaini.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan, 51471 Mohd Harisuddin bin Zaini.

Beliau juga menekankan petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-32 tahun yang menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan negara adalah penting untuk pembangunan negara.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, pengurusan kewangan yang berhemat bukan sahaja penting untuk melaksanakan langkah-langkah untuk merangsang ekonomi negara, malahan dengan merancang strategi pertahanan adalah sangat penting untuk memastikan sumber-sumber kewangan dan aset ketenteraan yang terhad diurus dan digunakan secara optima dan berimpak tinggi demi memastikan negara kita akan terus dipelihara daripada ancaman-ancaman daripada dalam dan luar negara,” ujarnya.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan para rekrut untuk sama-sama mencurahkan bakti dalam mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kestabilan negara dengan berdasarkan Melayu Islam Beraja dan berharap, para rekrut akan terus melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan, dan kemahiran yang terkini.

Upacara tamat latihan berkenaan diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada jurulatih dan rekrut lelaki yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang latihan dijalankan.

Penerima-penerima hadiah termasuk 51471 Rekrut Mohd Harisuddin bin Zaini bagi Rekrut Lelaki Terbaik Keseluruhan, 51421 Rekrut Mohammad Noor Yazid bin Haji Mat Yunus bagi Akademik Terbaik; 51469 Rekrut Afi Amiruddin bin Jabih bagi Latihan Jasmani Terbaik dan 51454 Rekrut Muhammad Rifqi bin Dullah bagi Penembak Raifal M16 A2 Terbaik. Sementara itu, penerima hadiah Jurulatih Lelaki Terbaik ialah 17926 Korporal Mohd Nasir bin Siahat dan Platun Sarjan Lelaki Terbaik ialah 16526 Korporal Mohd Yasreen bin Haji Othman.