169 pegawai KHEU terima P.K.L.

169 pegawai KHEU terima P.K.L.

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Seramai 169 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-68 bagi tahun 2014 dan ke-69 bagi tahun 2015 pada majlis yang diselajurkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kementerian berkenaan, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 68 orang adalah penerima pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-68 tahun 2014 dan 101 lagi sempena ulang tahun ke-69 tahun 2015.

Hadir menyampaikan pingat-pingat kepada para penerima ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Penyampaian pingat berkenaan bertujuan untuk memberi penghormatan dan penghargaan atas sumbangan dan jasa bakti ikhlas pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang telah mencapai tempoh perkhidmatan 20 tahun bergaji bulan dalam kerajaan Baginda Sultan dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada seramai 19 orang pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan yang akan menunaikan ibadat Haji bagi tahun ini.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan Pingat Kerja Lama kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan Pingat Kerja Lama kepada salah seorang penerima.
Antara penerima perempuan yang mendapat Pingat Kerja Lama pada majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama kelmarin.
Antara penerima perempuan yang mendapat Pingat Kerja Lama pada majlis yang berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama kelmarin.

Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Ini diikuti dengan bacaan doa bagi memohon limpah rahmat dan keberkatan Allah S.W.T bagi perlindungan dan keselamatan ke semua bakal jemaah haji negara khasnya bakal haji kementerian berkenaan. Doa selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

Manakala itu, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya itu diserikan dengan acara berdudun ramah mesra dan kunjung-mengunjungi ke ruang setiap jabatan, bahagian dan unit di bawah KHEU.

ARTIKEL YANG SAMA