17 atlet berbasikal wakili negara

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Seramai 17 orang pelumba basikal negara dari Kelab Berbasikal Kaka (KKCC) dan Pasukan Berbasikal Jiwa Kacau (JKCT) telah berlepas ke Selangor untuk menyertai kejohanan basikal jarak jauh Pulau Indah 180 Malaysia 2018 yang akan berlangsung Ahad ini.

Menurut wakil JKCT, seramai sembilan orang ahli kelab telah pun berlepas ke Selangor, Malaysia kelmarin, manakala seramai lapan anggota KKCC pula berlepas hari ini.

Menurutnya lagi, pada hari pertama di Malaysia, JKCT telah mengadakan latihan kecergasan di kaki bukit Genting Highland, Genting Sempah.

Walaupun hanya berlatih dalam masa yang singkat, ia cukup mencabar dan salah satu cara untuk menaikkan lagi keyakinan para pelumba pada Ahad ini.

JKCT ketika mengadakan latihan di kaki bukit Genting Highland hari ini.

Kategori yang dipertandingkan ialah Terbuka Lelaki bagi 18 hingga 35 tahun, Terbuka Wanita bagi 18 tahun ke atas, Junior Master bagi 35 hingga 45 tahun, Master bagi 45 tahun ke atas dan Kategori Berpasukan bagi 10 pelumba sepasukan.

Kejohanan yang disertai lebih 1,000 orang pelumba dari dalam dan luar negara itu merupakan kejohanan ketiga yang pernah diadakan di Selangor.

Pulau Indah 180 telah berjaya menubuhkan kejohanan tersebut sebagai salah satu perlumbaan berbasikal yang berprestij.