17 buah premis makanan terima sijil penggredan

17 buah premis makanan terima sijil penggredan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Julai – Sebanyak 17 buah premis makanan dan restoran di Daerah Tutong telah menerima sijil penggredan masing-masing pada majlis penyampaian yang berlangsung di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, empat buah premis mendapat pengiktirafan dan sijil Gred ‘B’ dan 13 buah lagi mendapat pengiktirafan sijil Gred ‘C’.

Hadir selaku tetamu khas bagi menyampaikan sijil-sijil tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Pengerusi majlis, Pegawai Pentadbir Pelatih, Dayang Amanina binti Haji Mohammad, selaku Ketua Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan majlis itu berkata, Jawatankuasa Panel Pemeriksaan Penggredan Kedai Makan dan Restoran telah menjalankan penggredan premis-premis makanan dan restoran ke atas sebanyak 58 buah premis perniagaan di daerah ini.

Ia dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama bermula pada 9 hingga 12 Mei 2016, dan fasa kedua pada 16 Mei hingga 19 Mei.

Gambar ramai bersama wakil-wakil premis yang menerima Sijil Penggredan hari ini di Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Gambar ramai bersama wakil-wakil premis yang menerima Sijil Penggredan hari ini di Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

Menurutnya lagi, penilaian penggredan premis-premis makanan dan restoran adalah berdasarkan empat kriteria iaitu keselamatan makanan, kelengkapan, keselesaan dan perkhidmatan.

Sementara itu, panel-panel pemeriksa terdiri daripada para pegawai dari Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Kesihatan Daerah Tutong, dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi Daerah Tutong, serta wakil-wakil dari sektor swasta.

Penggredan ini, jelasnya, bertujuan bagi mempertingkatkan lagi kesedaran dan komitmen para pengusaha perkhidmatan penyajian makanan tentang penjagaan kebersihan serta keselamatan makanan yang disajikan di samping mengambil kira aspek mutu perkhidmatan, keindahan, keselesaan dan kelengkapan. Ini juga untuk memastikan premis makanan dan restoran berada dalam keadaan yang memuaskan dan tidak memudaratkan orang awam.

Selain itu, penggredan ini diharap akan dapat memastikan penyediaan makanan kepada orang ramai yang bersih dan selamat sekali gus memberi keyakinan kepada para pelanggan yang berkunjung dari dalam dan luar negara untuk menikmati hidangan di premis-premis makanan dan restoran di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA