17 maut, 4 hilang banjir di Indonesia barat

17 maut, 4 hilang banjir di Indonesia barat

SIBOLANGIT, Indonesia, 17 Mei (AP) – Pasukan penyelamat hari ini menemui 17 mayat daripada 20 pelajar universiti dan dua pemandu yang hilang dalam banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat di air terjun popular di barat Indonesia, kata seorang pegawai.

Seorang pelajar telah ditemui masih hidup dan sedang dirawat di hospital, kata Darwin Surbakti, seorang pegawai dari Agensi Pengurusan Bencana tempatan. Usaha untuk mencari empat orang masih hilang disambung semula hari ini.

“Pasukan penyelamat telah menemui 17 mayat, di mana 14 mayat telah dibawa dari lokasi kejadian sementara tiga yang lain masih di bawah runtuhan,” kata Surbakti.

Bencana itu berlaku Ahad lalu apabila lebih daripada 70 pelajar telah melawat air terjun Dua Warna di Sibolangit, wilayah Sumatera Utara.

Anggota penyelamat menemui mayat mangsa selepas banjir melanda air terjun Dua Warna di Sibolangit, Sumatera Utara, Indonesia, Isnin lalu. – AP
Anggota penyelamat menemui mayat mangsa selepas banjir melanda air terjun Dua Warna di Sibolangit, Sumatera Utara, Indonesia, Isnin lalu. – AP

Enam mayat ditemui kira-kira 3 kilometer (2 batu) dari hilir air terjun, kata Surbakti.

Di Jakarta, Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap bagi Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata 300 anggota penyelamat termasuk tentera, polis dan pasukan penyelamat dari Agensi Mencari dan Menyelamat telah digerakkan untuk mencari mangsa.

Hujan bermusim itu sering menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh di Indonesia, yang mempunyai 17,000 pulau di mana berjuta-juta orang tinggal di kawasan pergunungan atau dataran banjir yang sering berlaku berhampiran dengan sungai.