17 maut, 60 cedera ribut di Skopje

17 maut, 60 cedera ribut di Skopje

SKOPJE, Macedonia, 8 Ogos – Ibu negara Macedonia, Skopje telah dilanda hujan lebat dan banjir yang menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang maut, enam hilang dan 60 lainnya dimasukkan ke hospital, kata pihak berkuasa semalam.

Pihak berkuasa yang terdiri daripada polis dengan menggunakan helikopter sedang berusaha untuk mencari mereka yang masih hilang dan memindahkan ratusan penduduk dari zon banjir.

Hujan lebat, angin kencang dan ribut petir melanda bandar dan pinggir bandar utara lewat Sabtu.

Polis khas, unit tentera dan anggota bomba telah dihantar ke kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas dan juga perkampungan berhampiran di Stajkovci, Aracinovo dan Smiljkovci.

Beratus-ratus rumah dan kenderaan musnah akibat banjir, jalan raya masih boleh dilalui dan beberapa kawasan tanpa elektrik. Pihak berkuasa berkata, setakat ini lebih daripada 1,000 orang telah dipindahkan.

Seorang lelaki berjalan melalui jalan yang ditenggelami air di Kampung Stajkovci, berhampiran Skopje, semalam. sekurang-kurangnya 17 orang maut, enam hilang dan 60 lainnya dimasukkan ke hospital selepas Skopje dilanda hujan lebat dan banjir. – AFP
Seorang lelaki berjalan melalui jalan yang ditenggelami air di Kampung Stajkovci, berhampiran Skopje, semalam. sekurang-kurangnya 17 orang maut, enam hilang dan 60 lainnya dimasukkan ke hospital selepas Skopje dilanda hujan lebat dan banjir. – AFP

Datuk Bandar Skopje, Koce Trajanovski menggambarkan kemusnahan itu sebagai “paling teruk melanda Skopje yang pernah dilihat.”

Selepas mesyuarat Pusat Pengurusan Krisis Negara, Menteri Kesihatan Nikola Todorov berkata, angka kematian tidak lama lagi boleh meningkat.

Beliau berkata kerajaan merancang untuk mengisytiharkan perintah darurat tidak lama lagi selama dua minggu di rantau yang paling terjejas ini.

“Kami secara rasmi boleh melaporkan 17 orang mati dan kami baru menerima laporan baru ini bahawa tiga lagi terbunuh, maka jumlah bilangan itu berkemungkinan akan menjadi 20 mangsa,” Todorov memberitahu kepada pemberita. – AP