17 maut bas awam terbakar

17 maut bas awam terbakar

BEIJING, 5 Jan (AFP) – Polis di China telah menangkap seorang lelaki yang disyaki mencetuskan kebakaran ke atas sebuah bas awam yang membunuh 17 orang dan mencederakan 32 yang lain hari ini, menurut media kerajaan.

Pihak berkuasa mengepung Ma Yongping di sebuah tapak pembinaan selepas api membakar kenderaan itu di Yinchuan, bandar rantau terpencil Ningxia, menurut pos yang disahkan dalam akaun media sosial CCTV, penyiaran kerajaan.

Imej yang disiarkan dalam Internet itu menunjukkan bas terbakar dan video pendek menunjukkan polis dalam jaket hujan warna kuning berkumpul di sekeliling bangkai kenderaan berasap.

Datuk bandar memberitahu sidang media bahawa biro keselamatan awam tempatan sedang mengumpulkan sampel DNA untuk mengenal pasti si mati, menurut akaun rasmi media sosial bagi bandar itu.

CCTV menyiarkan senarai nama-nama 32 orang yang cedera itu berusia antara 20 hingga 65, menambah bahawa lapan daripadanya mengalami cedera parah.

Pihak berkuasa tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai motif.

Sebelumnya, pegawai di Yinchuan, ibu negeri rantau terpencil Ningxia di mana kejadian tersebut berlaku, hanya berkata bas ‘terbakar secara tiba-tiba’ berhampiran dataran awam.

Dalam tahun-tahun sebelumnya, terdapat beberapa kes serangan ke atas pengangkutan awam China, terutamanya bas.

Pada 2013, seorang lelaki memulakan kebakaran ke atas sebuah bas di timur China yang membunuh 47 orang termasuk dirinya sendiri, kata media negeri.

ARTIKEL YANG SAMA