17 pelajar SU Panaga dirai

17 pelajar SU Panaga dirai

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Julai – Seramai 17 murid Darjah 6, Sekolah Ugama (SU) Panaga, Seria, yang berjaya menamatkan pembacaan 30 juz Al-Quran telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis anjuran bersama pihak sekolah dengan Jabatan Pengajian Islam, Cawangan Daerah Belait, itu ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait, SUPT Mohd Hadini bin Haji Othman, dengan diiringi Guru Besar SU Panaga, Dayang Mariam binti Haji Momin.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu kehormat diikuti bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.

Bacaan takhtim dibawakan oleh murid-murid perempuan Darjah 4 dan 5, manakala Dikir Asyraqal pula dibawakan oleh murid-murid Lelaki Darjah 4 dan 5.

SUPT Mohd Hadini hadir selaku tetamu kehormat majlis.
SUPT Mohd Hadini hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Para pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Panaga yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran berkenaan.
Para pelajar Darjah 6 Sekolah Ugama Panaga yang diraikan di Majlis Khatam Al-Quran berkenaan.

Doa khatam pula dibacakan oleh peserta khatam, Awang Mohammad Aiman bin Haji Abas.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan merenjis minyak wangi kepada para peserta khatam yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh pelajar Darjah 6, Awang Ameer’ Ubaidillah bin Mohd Suzaidy.

ARTIKEL YANG SAMA