17 pengawal keselamatan terima sijil

17 pengawal keselamatan terima sijil

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seramai 17 pengawal keselamatan, dengan empat orang daripada mereka wanita, menerima Sijil Kursus Asas Pengawal Keselamatan, pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pengawal Keselamatan Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI) ke-8, yang berlangsung di ibu pejabat syarikat itu di BT-Haji Uthman Kompleks, Berakas, hari ini.

Hadir menyampaikan sijil kepada mereka yang tamat latihan ialah Pengarah Kewangan KOPRI, Dato Paduka Haji Alias bin Sheikh Ahmad.

Menurut Timbalan Pengarah Gerakan KOPRI, Awang Haron bin Ahmad kursus siri kelapan yang bermula sejak 25 hingga 30 April 2016 itu dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih tempatan yang terdiri daripada bekas pesara pegawai polis dan tentera.

Antara kemahiran yang dipelajari oleh pelatih pengawal keselamatan termasuk cara mengawal keselamatan di setiap pos kawalan dan cara membuat perhubungan menggunakan alat perhubungan radio.

Selain itu, para pelatih juga diberi tunjuk ajar mengenai prosedur menjalankan kawalan keselamatan di bangunan pejabat dan gedung perniagaan dan cara menulis laporan dalam buku catatan 24 jam.

Di samping menyediakan khidmat kawalan keselamatan untuk para pelanggannya, Koperasi Rimbun Berhad juga mengendalikan kursus latihan asas dan lanjutan pengawal keselamatan bagi anggota pengawal keselamatan syarikat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA