17 perusahaan sertai sesi kumpulan fokus DARe

17 perusahaan sertai sesi kumpulan fokus DARe

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Dalam usaha untuk menyediakan platform bagi perusahaan-perusahaan tempatan berkongsi pengalaman dan membincangkan secara terbuka mengenai pelbagai aspek ekosistem perniagaan di Brunei, Darussalam Enterprise (DARe) mengadakan beberapa sesi kumpulan fokus di Auditorium Tingkat 3, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, sesi kumpulan fokus itu disertai oleh 17 buah perusahaan daripada sektor pakaian dan industri kreatif di mana sesi berkenaan dikendalikan oleh ahli-ahli Lembaga DARe.

Sesi kumpulan fokus itu merupakan inisiatif berterusan DARe untuk mendekati perusahaan tempatan dan menyediakan platform bagi mereka untuk membincangkan mengenai ekosistem perniagaan negara secara terbuka.

Semasa sesi fokus itu, para pengusaha bukan sahaja berpeluang untuk mengongsi pelbagai isu-isu yang dihadapi oleh perusahaan mereka tetapi juga berpeluang untuk mengetahui bagaimana DARe boleh membantu mereka dalam menangani isu-isu berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, salah satu isu yang dibangkitkan adalah perlunya bagi proses-proses perniagaan lebih telus dan disampaikan dengan lebih baik kepada komuniti perniagaan.

Di samping itu, para usahawan yang menghadiri sesi fokus berkenaan juga mengongsi perlunya terdapat kaedah pembayaran elektronik yang mudah dan diterima ramai serta perkhidmatan penghantaran yang kompetitif sebagai pemudah cara bagi perusahaan-perusahaan baru untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Bagi industri kreatif pula, mereka menyatakan perlunya bagi membangunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran perniagaan mereka supaya mereka dapat membangunkan perniagaan yang mapan.

Sementara itu, sesi kumpulan fokus pakaian mengongsi bahawa lebih banyak acara atau ekspo yang berasaskan konsep dapat dilaksanakan untuk menarik jenis-jenis pelanggan yang tepat untuk membeli produk mereka.

Turut dicadangkan semasa sesi fokus berkenaan adalah, perlunya bagi acara atau ekspo berkenaan dipasarkan dengan baik supaya ia dapat menarik pelanggan-pelanggan yang tepat.

Menurut kenyataan itu lagi, DARe sedang mengumpulkan kesemua perkara yang dibangkitkan semasa sesi fokus berkenaan dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang tepat untuk menangani isu-isu yang diketengahkan.

DARe menyatakan bahawa sebuah lagi sesi kumpulan fokus bagi industri makanan akan diadakan pada 21 Mac dan dalam hubungan itu, DARe ingin mengalu-alukan semua perusahaan untuk menyertai sesi dialog, bengkel atau sesi kumpulan sesi yang dikendalikan oleh DARe.

DARe berkata bahawa sesi-sesi berkenaan menyediakan platform bagi perusahaan-perusahaan untuk mengongsi dan menyampaikan idea mereka serta mengetengahkan sebarang isu-isu dalam alam sekitar perniagaan.

Pada masa yang sama, perusahaan-perusahaan digalakkan untuk bekerjasama dengan DARe dalam sesi-sesi berkenaan untuk menyelesaikan sebarang isu-isu relevan.

Perusahaan-perusahaan yang ingin mengetahui dengan lebih dekat mengenai DARE boleh berkunjung semasa Business Helpdesk dibuka iaitu Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 4:30 petang dengan waktu rehat dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang di Tingkat Satu, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37, Kampung Anggerek Desa.

Perusahaan-perusahaan yang berminat juga dialu-alukan untuk menghantar e-mel ke alamat dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA