17 peserta terima sijil bantuan kecemasan sukan

17 peserta terima sijil bantuan kecemasan sukan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Negara Brunei Darussalam mencatat satu lagi mercu tanda bersejarah dalam bidang sains sukan dan perubatan sukan khususnya dalam sukan bola sepak dan futsal apabila 17 peserta Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan Kali Pertama menerima sijil masing-masing hari ini.

Menyempurnakan penyampaian sijil yang turut mencatatkan pengalaman 20 jam penempatan bekerja para peserta di Pusat Pemulihan Perubatan Sukan (Sport Medical Recovery Center – SMRC), Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu ialah Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Bengkel unik anjuran bersama NFABD dengan SMRC, JBS, KKBS itu bukan saja yang pertama di negara ini tetapi juga tidak pernah ditawarkan di mana-mana rantau sebelah sini, ujar Ketua SMRC, Dr. Haji Danish Zaheer dalam ucapan alu-aluannya.

Haji Muhd Zamri ketika menyampaikan sijil bengkel kepada salah seorang peserta.
Haji Muhd Zamri ketika menyampaikan sijil bengkel kepada salah seorang peserta.

Ia bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan asas dalam bidang perubatan sukan dan pengurusan kecederaan supaya para peserta mengetahui dan memahami cara-cara rawatan yang betul dan sesuai dalam bersukan khususnya dalam permainan bola sepak dan futsal.

Antara topik menarik berkaitan bola sepak dan futsal yang didedahkan kepada para peserta di sepanjang kursus berkenaan ialah Kecederaan Lazim Dalam Bola sepak (pengurusan dan bantuan kecemasan), Kecederaan dan Bantuan Kecemasan Di Tepi Padang/Gelanggang (amali), Pengurusan Kecederaan Di Tepi Padang dan Urutan untuk Kecederaan Lazim.

Dr. Haji Danish seterusnya menjelaskan nilai unik dalam bengkel adalah apabila SMRC perlu mengumpulkan pelbagai komponen data khusus yang dinilai dapat membantu para peserta menjadi seorang medik yang cekap dalam menangani kecederaan yang dialami atlet dalam situasi sebenar di atas padang ataupun di dalam gelanggang.

ARTIKEL YANG SAMA