17 tahun menunggu, jawapannya gagal

17 tahun menunggu, jawapannya gagal

SAYA ingin mengongsi satu isu yang masih lagi berlaku dalam kalangan kita, khususnya yang berkaitan dengan pengurniaan tanah dan rumah kepada pemohon Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati dan juga Rancangan Perumahan Negara di seluruh negara.

Saya sendiri pernah memohon untuk Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) dan juga Rancangan Perumahan Negara (RPN) pada tahun 1998 dimana pada masa itu saya masih belum berumah tangga. Alhamdulillah, jodoh pertemuan di tangan Allah S.W.T dan saya mendirikan rumah tangga pada tahun 1999 dan empat tahun kemudian (Ogos 2003) dipanggil untuk temu duga kedua skim tersebut.

Selama hampir 12 tahun tiada tindakan susulan daripada yang berkenaan dan dalam masa yang panjang tersebut, isteri saya jatuh sakit dan menghembuskan nafas yang terakhir disebabkan radang paru-paru pada tahun 2009.

Mungkin Allah S.W.T maha kasih pada Allahyarhamah namun atas sifat maha mengasihaniNya, saya bertemu jodoh dan mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada April 2013.

Mungkin dengan berkat pernikahan ini, saya beroleh jawapan dari jabatan yang berkenaan pada bulan Jun 2015 untuk mengisi borang dengan fakta yang betul dan sahih bagi memilih salah satu daripada lima tempat di Daerah Brunei-Muara yang telah diperuntukkan bagi Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati.

Ini bermakna hanya selangkah lagi yang saya perlukan sebelum saya dilibatkan dalam pengundian. Yang penting saya bercakap jujur dan benar dalam hal mengisi maklumat.

Persoalannya hanya kurang seminggu sebelum tarikh pengundian (Nov 2015), saya menerima surat dengan pernyataan dukacita yang saya telah gagal dalam permohonan disebabkan isteri yang baru saya nikahi ini memiliki tanah waris yang sudah diperuntukkan untuk kedua anaknya (dari perkahwinan pertamanya).

Sedangkan saya membuat permohonan tersebut sewaktu saya masih bujang dan menjalani temu duga bersama dengan isteri saya yang pertama sewaktu beliau masih hidup.

Saya harus tekankan di sini yang saya telah menunggu lebih 17 tahun untuk menerima jawapan kegagalan, sedangkan ada di antara pemohon lain yang menunggu tak sampai pun lima tahun selepas memohon, tetapi setelah itu menjadikan rumah pemberian kerajaan hanya sebagai stor barang mereka malah lebih teruk lagi, menjadikannya sebagai rumah sewa.

Kes terbaru ini saya dapati dalam kongsi sama saya bersama rakan-rakan sepejabat yang berjaya memperoleh rumah kurnia ini dan saya merasa diperlakukan dengan penuh ketidakadilan di sini.

Paling tidak pun, saya rasa peraturan permohonan STKRJ dan RPN ini perlu dirombak mana yang patut bagi memberi layanan adil dan sama rata kepada yang benar-benar berhak menerimanya. Renungkanlah. – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA