17 tenaga pengajar IBTE tamatkan kursus IMO

17 tenaga pengajar IBTE tamatkan kursus IMO

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 15 Jan – Seramai 17 tenaga pengajar dari pelbagai latar belakang menamatkan kursus latihan ‘International Maritime Organisation’ (IMO) yang telah diadakan selama lima hari di Dewan Latihan Kampus Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah, di sini.

Kursus latihan IMO yang diadakan kali kedua sejak bulan September tahun lalu bertujuan untuk melihat keupayaan tenaga pengajar dalam mengajar dan menilai kursus-kursus di bawah IMO.

Latihan tersebut dikendalikan oleh dua tenaga pengajar dari Singapore Maritime Academy, Pensyarah Kanan, Kapten Osman Sam dan Ketua Jurutera Perkapalan, Awang David Tay.

“Untuk menjadi seorang pelaut sama ada bekerja di bilik enjin atau dek kapal adalah tentang melihat kecekapan seseorang itu dan mengaplikasikan apa yang dipelajari secara praktikal, dari pengendalian kargo hingga pengemudi pelayaran, mereka ini perlu berupaya dan diuji untuk menunjukkan bahawa mereka boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi untuk dibawa ke tempat kerja,” jelas Kapten Osman.

Awang David Tay.
Awang David Tay.

Menurutnya lagi, keperluan kursus ini dijalankan oleh Konvensyen Antarabangsa terhadap Standard Latihan, Pensijilan dan Pengawasan untuk Pelaut (STCW), bagi diguna pakai oleh IMO sebagai tanda aras global bagi pelayaran.

“Kursus pertama September lalu melengkapkan pelatih dengan teknik pengajaran yang perlu untuk mengajar kursus IMO kepada pelajar, manakala kursus kali ini memberikan pengajar alat yang diperlukan untuk menilai pelajar-pelajar mereka,” jelasnya lagi.

Manakala bagi Awang David Tay, beliau berpendapat bahawa pengambilan kursus-kursus sebegini adalah suatu tanda positif bagi Brunei Maritime Academy dalam melangkah ke hadapan terutama dalam bidang pelayaran global.

Menurutnya lagi, oleh kerana sifat perkapalan antarabangsa dalam merentas sempadan perairan, pensijilan antarabangsa berdasarkan STCW yang menetapkan keperluan asas kepada latihan, pensijilan dan pengawasan adalah penting bagi ‘kebolehpasaran’ dan pekerjaan bagi pelaut-pelaut terlatih.

ARTIKEL YANG SAMA