17 terima biasiswa ke China

17 terima biasiswa ke China

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Seramai 17 orang pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menerima biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses untuk menjalankan program dan latihan perindustrian di Universiti Zhejiang (ZJU), China.

Penandatanganan perjanjian bagi biasiswa berkenaan dengan Hengyi Industries Sdn Bhd telah diadakan di Member’s Grill, The Empire Hotel & Country Club, hari ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Menandatangani bagi pihak Hengyi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Cai, manakala para pelajar telah menandatangani perjanjian masing-masing.

Hengyi Industries menubuhkan program biasiswa berkenaan dengan UBD dan ZJU untuk menaja pelajar-pelajar menjalankan program dan latihan perindustrian mereka di ZJU selama satu tahun setengah.

Para penerima biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses ke Universiti Zhejiang, China bergambar ramai pada majlis penandatangan perjanjian biasiswa.
Para penerima biasiswa Kejuruteraan Kimia dan Proses ke Universiti Zhejiang, China bergambar ramai pada majlis penandatangan perjanjian biasiswa.

Program akan termasuk penempatan kerja di loji petrokimia China di mana pelajar akan dapat mengambil pengalaman kerja berada di kilang penapisan.

Para pelajar akan ditawarkan bekerja di Hengyi Industries Sdn Bhd apabila mereka berjaya menamatkan program itu nanti.

Para penerima biasiswa merupakan kumpulan ketiga di bawah program biasiswa dengan UBD dan ZJU.

Pada 2014, Hengyi Industries telah menaja 13 orang pelajar di bawah perjanjian biasiswa ZJU, manakala pada 2015, 14 orang lagi pelajar ditawarkan untuk program yang sama.

Kumpulan pertama para pelajar kini telah kembali ke Brunei dan sedang menghabiskan semester terakhir mereka sebelum menerima ijazah.